Tak Puas Hati Dewan Diroboh Untuk Bina Pusat Internet Di Baling

Johari Cheemee dan Siti Bedah menunjukkan keadaan dewan.
BALING - Sebahagian ahli jawatankuasa Kampung Tandop Pisang, di sini, meminta dewan Umno kampung mereka yang dirobohkan diperbaiki semula untuk kegunaan penduduk di situ.

Setiausaha Cawangan Umno Kampung Tandop Pisang, Johari Chemee berkata, sebahagian struktur dewan itu dirobohkan oleh pengerusi jawatankuasa kampung melalui kontraktor bagi tujuan pembinaan pusat internet.

“Kami terkejut apabila dewan Umno di kampung ini dirobohkan, pengerusi langsung tidak membuat perbincangan bersama ahli lain.

“Dewan itu dirobohkan pada waktu malam tanpa pengetahuan ahli, ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Susulan itu katanya, semua ahli jawatankuasa Kampung Tandop Pisang mengadakan mesyuarat tergempar dan bersepakat membantah pembinaan itu daripada diteruskan.

“Bila tiada dewan nak buat program pun susah, tambahan pula bila nak kenduri,” katanya.

Johari Chemee berkata, status dewan itu adalah milik orang ramai kerana ia dibina di atas sebidang tanah wakaf.

“Individu itu mewakafkan tanah untuk dijadikan dewan Umno namun sudah meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.

“Justeru itu, saya dan anak arwah sudah membuat laporan polis pada 5 Oktober bulan lalu,” katanya.

Katanya, isu berkenaan turut dilaporkan kepada Umno Parlimen Baling sebelum ini, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil dan dewan terus terbiar terbengkalai.

“Jika Umno mahu maju ke hadapan mereka perlu turun padang melawat dewan ini.

“Jika benda macam ini pun tidak diambil peduli macam mana penduduk nak sokong pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Manakala anak tuan tanah, Siti Bedah Wahab berkata, dia terkilan dengan tindakan merobohkan dewan bagi pembinaan pusat internet.

Menurutnya, tiada sebarang kebenaran diminta oleh individu tersebut.

“Sudahlah runtuh dewan tidak dimaklumkan, selepas itu dibiarkan pula dewan dalam keadaan tidak sempurna.

“Saya sebagai anak tuan tanah mohon dewan ini dibina semula macam keadaan asal,” katanya.

Hanya salah faham

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Panjang/ Cawangan Tandop Pisang, Jamuludin Abdullah berkata, pembinaan pusat internet itu mengikut prosedur yang betul.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini adalah salah faham.

"Perbincangan bersama salah seorang anak waris tanah dewan diadakan pada Jun tahun ini. Anak waris bersetuju untuk membina pusat internet demi kemajuan kampung, namun bila dewan mula dibina ada anak waris yang lain menentang.

“Perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa Kampung Parit Panjang termasuk wakil dari Kampung Tandop Pisang turut diadakan dan kesemuanya bersetuju membina pusat internet,” katanya.

Jamaludin berkata, pusat internet yang ingin dibina itu juga menerima sokongan pihak masjid Parit Panjang dan Institut Pendidikan Islam dan Tahfiz Al-Quran (ABADA).

Menurutnya, lebih daripada 10,000 pengguna termasuk di sempadan Sik akan menerima manfaat pembinaan itu.

“Pusat internet itu dibina selepas mendapat tawaran Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), malah Ahli Parlimen turut bersetuju dengan perkara ini.

“Dalam tawaran itu SKMM sediakan 24 komputer, empat menara telekomunikasi di beberapa kawasan berbeza dan lantik dua orang pegawai bagi mengurus tadbir pusat internet itu,” katanya.

Katanya lagi, perkhidmatan kepada penduduk disediakan secara percuma.

“Sayang sangat jika projek ini dibatalkan kerana ia boleh beri pendidikan dan kemajuan yang amat bersesuaian dengan zaman sekarang,” katanya.

Tambahnya, projek itu adalah yang kedua dalam daerah ini jika berjaya dilaksanakan.

“Banyak cawangan mohon dan berminat untuk sahut tawaran ini, tetapi SKMM memilih pihak kami,” katanya.

Difahamkan projek itu terpaksa dihentikan seketika selepas aduan polis dibuat.

Sumber: Sinar Harian