Tak Sokong UMNO "Bulat-Bulat", PAS Nafi Makan Dedak UMNO


ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa meskipun PAS memberi sokongan kepada UMNO tentang beberapa perkara, namun sokongan itu tidak diberikan "bulat-bulat" begitu saja.

Beliau turut menafikan dakwaan yang kononnya PAS "makan dedak" UMNO setelah parti tersebut menegaskan pendirian untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan yang kini diketuai oleh DAP.

"Ada tempat kita sokong (Umno) ada tempat tak sokong, bukan bulat-bulat.

"Tak betul (kenyataan Mahathir). Dalam UMNO pun ada yang tolak Najib," katanya ketika ditanya media, semalam.

Selain itu, Abdul Hadi sebelum ini menjelaskan kedudukan PAS sebagai ketua kepada Gagasan Sejahtera yang dibentuk bersama parti Ikatan juga menafikan ada memberi sokongan kepada parti lain.

"Tidak benar... tidak benar, PAS tidak menyokong mana-mana parti pun," tegas beliau, memetik laporan Malaysiakini.

Dalam pidato di Konvensyen HARAPAN di Shah Alam, Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata mana-mana pihak yang memusuhi gabungan pembangkang itu boleh dianggap sebagai penyokong Mohd Najib.

Kata mantan Perdana Menteri itu, sikap berkenaan juga mungkin menjadi petanda bahawa pihak terbabit sudah mendapat "dedak" daripada Perdana Menteri.

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas nama parti yang dikecam itu, dipercayai kecaman tersebut ditujukan kepada PAS yang menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan selain enggan menghadiri konvensyen parti-parti pembangkang itu.

Dr Mahathir sebelum itu turut berharap permohonan parti yang beliau pengerusikan, Parti Pribumi Bersatu Melayu diterima masuk sebagai sebahagian dari parti di dalam Pakatan Harapan. -Kedahnews.com