Tak Mahu Tengok ‘Amoi’ Seksi, Maka Duduk Dalam Hutan - PAN


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) meminta mana-mana umat Islam negara ini yang tidak mahu melihat `amoi’ memakai seluar pendek supaya tinggal di dalam hutan.

Setiausaha Organisasinya, Suhaizan Kaiat berkata, memakai seluar pendek dalam kalangan wanita muda Cina bukan satu kesalahan pada mereka.

Justeru, katanya, adalah salah mempertikaikan `amoi’ berseluar pendek menyertai demonstrasi anti kerajaan Bersih 5 baru-baru ini maka umat Islam tidak boleh menyertainya.

“Tak boleh hadir Bersih sebab ada `amoi’ pakai seluar pendek. Sedangkan `amoi’ tu semua tempat pun pakai seluar pendek. Bukan kita suka dia pakai seluar pendek tapi itu perkara biasa pada mereka.

“Kalau kita tak boleh pergi tempat dimana `amoi’ ada memakai seluar pendek di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Melaka, Seremban, Ipoh dan Pulau Pinang maka kita kena tinggal di dalam hutan Endau Rompin sahaja lah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

PAN merupakan sebuah parti Islam baharu bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan sejak tahun lalu.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah yang dianggap boleh menyusahkan pembangkang. – Kedahnews.com