TLDM Bakal Jadi Anggota Tetap IONS – Panglima ATM


LUMUT – Jawatankuasa Panglima-Panglima Angkatan Tentera bersetuju supaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi anggota tetap Simposium Tentera Laut Lautan Hindi (IONS), kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain.

Beliau berkata persetujuan itu mampu mengutuhkan lagi jaringan kerjasama di antara TLDM dan angkatan tentera di negara-negara di persisiran Lautan Hindi.

“Sebelum ini, TLDM hanya menjadi pemerhati dan persetujuan Jawatankuasa Panglima-Panglima Angkatan Tentera untuk TLDM menjadi anggota tetap IONS ini adalah sesuatu yang dapat kita banggakan.

“Dengan menganggotai IONS, TLDM dapat menjadikan ia sebagai platform dan seterusnya memperluaskan ketenteraan dan pertahanan khususnya antara angkatan-angkatan laut di negara di persisiran lautan Hindi,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, beliau diraikan dalam Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera bersama warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Seramai 23 pegawai dan 878 anggota dari 12 Kontinjen TLDM terlibat dalam perbarisan itu yang diketuai oleh Komander Azmin Zar Abdul Rashid.

Menjelas lanjut, Zulkifeli berkata persetujuan itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan lembaga menteri yang dijangkakan akan dibentangkan tidak lama lagi.

“Sekarang ini kita telah menjadi anggota tetap Simposium Angkatan Laut Pasifik Barat (WPNS) dan kini kita mahu menjadi anggota IONS. Oleh itu, kita akan angkat persetujuan ini ke peringkat menteri dalam masa terdekat bagi mendapat kelulusan,” katanya.

IONS kini dianggotai oleh 26 buah negara antaranya United Kingdom, Oman, Perancis dan India manakala empat negara adalah pemerhati termasuk Malaysia, Jepun dan China. – BERNAMA