TMJ Dakwa Ada Jurulatih Kongsi Wang Dengan Ejen Pemain


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir jurulatih dalam negara tergamak menukar pemain untuk berkongsi wang dengan ejen.

Tindakan kelompok tersebut antara punca perbelanjaan sesebuah pasukan bola sepak di Malaysia didapati tiba-tiba meningkat dengan mendadak.

Titah baginda, jurulatih terbabit sengaja menukar pemain pasukan yang dikendalinya untuk mendapatkan manfaat daripada wang kelab bola sepak yang dikendalikan oleh mereka yang tidak tahu tentang perniagaan bola sepak.

Justeru, Tunku Ismail membidas sebuah laman berita bola sepak Malaysia kerana mendakwa konon wang bukan segala-galanya dalam industri bola sepak kerana ia adalah satu kenyataan yang mengarut.

“Dalam perniagaan bola sepak, wang adalah segala-galanya. Satu lagi contoh adalah kenapa kelab di Malaysia sering kali menukar pemain import mereka dan perbelanjaan telah menjadi lebih berganda daripada yang sepatutnya.

“Jawapannya kerana beberapa jurulatih sengaja menukar pemain supaya boleh berkongsi wang dengan ejen dan kemudian mendapat banyak manfaat daripada wang kelab.

“Ini biasanya berlaku apabila kelab yang dikendalikan oleh orang yang tidak tahu perniagaan bola sepak. Johor Darul Ta’zim (JDT) juga pernah jadi mangsa pada satu ketika dahulu,” dedahnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tunku Ismail berkata, JDT bagaimanapun tidak lagi berhadapan dengan situasi tersebut kerana baginda memantau segala-galanya memandangkan wang kelab adalah daripada penaja dan penyokong yang perlu sentiasa dilindungi.

“Melainkan jika anda menghabiskan wang rakyat daripada sumber kerajaan, menjual gelaran seperti beberapa pesaing kami, jadi jika begitu ia tidak akan menjadi masalah.

“Itulah perbezaan antara kami dan mereka. Kami menjalankan perniagaan untuk mengekalkan kelab. Mereka menggunakan kelab untuk membuat wang untuk diri mereka sendiri,” katanya. – Kedahnews.com