TNB Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sewaktu musim tengkujuh pada penghujung tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Pembahagianya, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, Pasukan Bertindak Kecemasan TNB telah disiapkan untuk bertugas 24 jam sekiranya berlaku banjir.

“Pasukan ini akan membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebagainya dengan segera.

“TNB aakan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang terlibat bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Nazmy dalam pada itu berkata, orang ramai yang terputus bekalan elektrik sekiranya berlaku banjir dinasihatkan supaya segera menghubungi TNB di talian ‪15454.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, maka penyambungan semula elektrik hanya akan dibuat selepas keadaan selamat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air.

“Jangan sesekali menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab,” katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis mereka yang dinaiki air. –Kedahnews.com