Trump-Obama Bertemu Di Pejabat Oval, Bincang Peralihan Kuasa


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan penggantinya, Donald Trump bertemu untuk kali pertama, duduk bersebelahan dan mengikis perseteruan mereka semasa kempen pilihan raya panjang bagi membincangkan proses peralihan kuasa pada 20 Januari ini.

Pertemuan selama 90 minit di Pejabat Oval, Rumah Putih itu berlangsung empat mata tanpa ditemani sesiapa, hari kedua selepas Trump sebagai calon Republikan memenangi pilihan raya menewaskan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Obama, yang membantu kempen untuk Hillary meneruskan penguasaan Demokrat, beberapa kali menegaskan bahawa Trump tidak layak untuk ke Rumah Putih, manakala Trump menuduh Obama yang berkuasa selama lapan tahun sebagai ‘bencana’ kepada AS.

Namun, dalam ucapan selepas berakhirnya pemilihan kelmarin, kedua-duanya tampil meminta semua pihak agar melupakan segala kepahitan semasa berkempen sehingga membawa kedua-duanya berbincang di Rumah Putih.

Duduk bersebelahan Obama selepas perbincangan mereka, Trump memberitahu pemberita: “Kami berbincang dengan serius mengenai banyak perkara dan keadaan, sesetengahnya manis, ada yang sukar.”

Beliau berkata, Obama menjelaskannya kepadanya beberapa perkara yang hebat yang telah dicapai namun Trump tidak menghuraikannya.

“Ia satu penghormatan yang tinggi dapat bersama anda dan di masa depan saya dan anda mempunyai lebih masa bersama lagi,” kata Trump dalam nada yang berlainan. – REUTERS