Tunggulah! Hari Pembalasan Itu Pasti Tiba...


TAHUKAH kita apakah hari yang dijanjikan itu? Hari itu ialah saat di mana ditiupkan sangkakala oleh Malaikat Israfil. Pada tiupan pertama, seluruh alam ini binasa, bukit bukau menjadi debu berterbangan, bintang-bintang dan cakerawala gugur bertaburan, bangunan-bangunan tinggi tersungkur menyembah bumi dan pada hari itu semua makhluk menjadi binasa.

Yang tinggal hanya Allah SWT yang bersifat Baqa’. Kemudian selepas itu ditiupkan pula sangkakala kedua, maka seluruh umat manusia akan dibangkitkan Allah daripada kubur masing-masing, inilah apa dikatakan sebagai hari yang dijanjikan Allah. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 68:
“Ditiupkan sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi secara mendadak, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).”
Dengan ini jelaslah kepada kita tentang hari yang dijanjikan itu, iaitu hari di mana setiap orang akan kembali kepada Allah SWT untuk menerima balasan bagi setiap apa yang dikerjakan di dunia ini. Jika melakukan perbuatan baik, dapatlah balasan yang baik di sisi-Nya dan begitulah sebaliknya.

Ingatlah setiap apa yang dijanjikan oleh Allah SWT ini merupakan suatu yang wajib diimani. Tidak dapat tidak, hendaklah kita menyakininya dengan sepenuh keimanan.

APAKAH PERSEDIAAN KITA?

Persoalannya, apakah persiapan atau persediaan yang dibuat untuk menghadapi saat-saat dijanjikan itu? Bersediakah? Apakah kita benar-benar yakin bakal terselamat pada hari itu?

Pada hari itu, tiada sebarang penolong, melainkan kita hadir dengan jiwa yang tenang mengadap Allah SWT. Pada hari tersebut, tiada sebarang naungan yang menaungi melainkan mereka yang dinaungi naungan Allah. Persoalannya, siapakah yang beruntung itu?

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.

- Pemimpin yang adil.

- Seorang pemuda yang hidup membesar dengan beribadah kepada Allah.

- Seorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.

- Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.

- Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita kaya dan cantik tapi dia menolaknya sambil berkata, “Aku takut kepada Allah SWT.”

- Seorang bersedekah secara rahsia hingga seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.

- Seorang berzikir kepada Allah ketika bersendirian hingga berlinang air matanya.” - Riwayat Bukhari.
Ingatlah bahawa setiap perbuatan di dunia ini direkodkan oleh Allah SWT melalui dua malaikat-Nya iaitu Raqib dan Atid. Rekod amalan itu akan diserahkan kepada setiap manusia pada hari yang dijanjikan itu. Firman Allah dalam Surah al-Insyiqaq, ayat 7-12:
“Maka sesiapa yang diberi buku catatan amalannya di sebelah tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan dia akan kembali kepada kaum keluarganya (yang beriman di dalam syurga) dengan perasaan gembira. Dan sesiapa yang diberi buku catatan amalannya dari sebelah belakangnya, maka dia akan menderita (dengan) pembakaran api neraka yang marak menjulang.”
Oleh demikian, beruntunglah sesiapa yang memperoleh rekod amalannya melalui tangan kanan, kerana dia pasti akan mendapat balasan terbaik daripada Allah SWT.

Manakala pada hari tersebut, celakalah bagi mereka yang menerima buku amalannya melalui tangan kiri dan dari arah belakangnya. Kerana dia pasti akan mendapat balasan yang buruk daripada Allah.

Sumber: Utusan