Umat Islam Lupa Fiqh Tabayyun, Selidik Sebelum Sebar


KEMELUT hari ini menyaksikan fitnah sudah beralih kepada media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya di seluruh dunia pada sepanjang masa.

Kecanggihan pelbagai alat komunikasi dibantu media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, dan sebagainya mempercepat penyampaian segala maklumat.

Kesannya, sesetengah masyarakat saling berprasangka, menempelak dan tuduh menuduh antara satu sama lain kerana pertentangan politik, merebut pangkat serta kedudukan.

Oleh itu, sewajarnya skop fikah dikembangkan kepada fiqh tabayyun dalam memastikan setiap maklumat yang disebar tepat, bersesuaian dan diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai.

Bukannya diambil daripada cakap dengar yang tidak diketahui hujung pangkalnya atau dicedok terus daripada sembang kedai kopi.

Fiqh tabayyun perlu diarusperdanakan dalam menghadapi isu-isu era teknologi maklumat hari ini. Semua pihak perlu membuat penapisan bagi mengelak mencipta dan menyebar fitnah.

Allah SWT memerintahkan golongan Mukmin memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Firman Allah menggunakan perkataan “fatabayyanu” yang bererti “maka periksalah dengan teliti.”

Ayat ini diturunkan berhubung dengan al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW memungut zakat Bani al-Mustaliq.

Setelah berita itu sampai kepada Bani al-Mustaliq, mereka gembira sehingga keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut. Sebelum sampai ke sana, ada seorang munafik memberitahu al-Walid bahawa kabilah tersebut murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota menghalang kedatangannya.

Setelah menerima berita itu, dia segera kembali ke Madinah melaporkan situasi tersebut. Rasulullah sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka.

Sebelum tentera itu berangkat, datang utusan mengadap Rasulullah: “Wahai Rasulullah, kedatangan kami ke sini untuk bertanya mengapa utusan Rasulullah tidak sampai untuk memungut zakat, bahkan kembali dari tengah perjalanan?

“Kami mempunyai dugaan bahawa timbul salah pengertian antara utusanmu dengan kami.” Justeru, turunlah ayat tersebut.

Ayat ini merupakan larangan keras agar tidak mudah percaya terhadap berita dibawa, yang memburukkan seseorang mahu pun sesebuah organisasi.

Janganlah perkara itu langsung saja diterima atau ditolak, melainkan diselidiki terlebih dahulu dengan saksama sama ada benar atau tidak.

ELAK TERBURU-BURU

Jangan sampai kerana terburu-buru menjatuhkan keputusan, pihak yang diberitakan itu dihukum, pada hal kemudian ternyata bahawa tidak ada sama sekali salahnya dalam perkara tersebut.

Masyarakat perlu berhati-hati dan berwaspada apabila mencatat sesuatu ungkapan melalui platform laman sosial. Di sinilah pentingnya fiqh tabayyun ketika mendapat sesuatu perkhabaran mahupun maklumat. Pastikan mempunyai nilai kebaikan dan manfaat kepada masyarakat.

Tidak menyebar maklumat atau komentar yang boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan.

Jika menyebarkan berita yang mempunyai kebaikan maka dibolehkan, tetapi sekiranya membawa keburukan lebih banyak daripada kebaikan, maka tidak perlu disebarkan.

Allah SWT memberi peringatan supaya berhati-hati dalam semua perkataan dan tindakan yang dilakukan yang akan dipertanggungjawabkan sebagaimana firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya, kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Ingatlah) ketika dua malaikat mencatatkan (perbuatannya), yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” (Qaf: 16-18)
Sunah merakamkan fiqh tabayyun dilaksanakan sebagaimana diriwayatkan dalam hadis, Umar ketika ada perkhabaran Rasulullah menceraikan isteri-isteri baginda. Sayidina Umar r.a. meminta izin berjumpa baginda bagi mendapat kepastian, lalu beliau bertanya kepada Rasulullah:
“Adakah anda telah menceraikan isteri-isteri? Lalu Nabi menjawab: Tidak. Aku pun berdiri di depan pintu masjid, lalu aku menyeru dengan suara yang kuat: Rasulullah tidak menceraikan isteri-isterinya.” - Riwayat Muslim
Inilah prinsip fiqh tabayyun terutama apabila berhadapan dengan isu yang berkait dengan kepentingan umum. Masyarakat hendaklah mengambil prinsip fiqh tabayyun terlebih dahulu dan tidak menyebarkannya dengan mudah.

Jika masyarakat sudah tidak tabayyun, fitnah akan dianggap sebagai maklumat yang benar dan dipercayai.

Setiap medium perlu diaplikasikan sebagai perantara menyebar ilmu, dakwah dan maklumat berfaedah, medan interaksi intelek dan akhlak serta komunikasi berdasarkan perspektif agama dan undang-undang, bukan berlandaskan hawa nafsu dan kepentingan peribadi.

Hasil inovasi dan penyelidikan semasa, perbincangan ilmu fiqh dilanjutkan kepada ruang yang baru seperti fiqh al-Bii-ah (fiqh alam sekitar), fiqh al-Waqi’ (fiqh realiti), fiqh uli al-Amri wa al-Hukumah (fiqh pemerintahan dan kerajaan) dan sebagainya.

Fahami fiqh tabayyun
  •     Tidak terburu-buru sebar berita, maklumat.
  •     Tangguh sehingga pasti kesahihannya.
  •     Tidak sebar berita negatif, umpatan, gosip.
  •     Tidak turuti perkara yang tiada pengetahuan.
  •     Percaya, beramal dengan apa yang diyakini, difahami.
  •     Tidak sebar berita daripada pihak tidak dikenali atau dikenali sebagai pembohong.
  •     Tidak sebar berita mengaibkan, memburukkan, menghina sesetengah pihak.
  •     Mengadakan pertemuan secara langsung dengan pembawa berita.
  •     Bertanya langsung kepada pihak pelaku utama.
  •     Mendengar dengan saksama maklumat kedua-dua belah pihak.
  •     Melakukan penyelidikan berdasarkan pengamatan peristiwa yang berlaku.
  •     Merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian.
  •     Ingat malaikat sentiasa mencatat setiap amalan baik dan buruk dilakukan.

Sumber: Utusan