UMNO Bahagian Dokong Matlamat Dua Pertiga PRU Ke-14 Di Kedah


SUNGAI PETANI - Barisan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di negeri Kedah semalam bersetia untuk menepati sasaran matlamat parti untuk mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Meskipun menyedari ancaman yang diberikan parti-parti pembangkang, namun menerusi langkah-langkah strategik parti dan kesetiaan tidak berbelah bagi seluruh warga UMNO terhadap parti, diyakini matlamat tersebut bakal direalisasikan dengan baik.

Datuk Tajudin Abdullah yang mengetuai UMNO Bahagian Sik berkata, kejayaan melakar sejarah memenangi Parlimen Sik, Dewan Undangan Negeri (Dun) Belantik dan Jeneri pada PRU yang lalu merupakan satu cabaran yang diyakini mampu dicapai.


Jelas beliau, setelah bersusah payah memastikan kemenangan bergaya 3-0 di Sik, beliau yakin seluruh pejuang UMNO di kawasannya akan bermati-matian memastikan kemenangan tersebut dan rakyat akan terus memilih parti itu sebagai pilihan terbaik mereka nanti.

"Untuk UMNO Bahagian Sik, pada PRU yang lepas kita telah merampas kembali Parlimen Sik dan Dun Jeneri. Sudah 18 tahun kita (BN) tak pernah menang 3-0, jadi pada PRU ke-13 yang lalu kita berjaya lakukan.

"Jadi bila kita sudah menang Parlimen Sik, Dun Belantik dan Dun Jeneri, pada PRU ke-14 kita akan 'mengekal'.. tagline kita adalah 'mengekalkan kemenangan 3-0'," kata beliau penuh semangat ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, semalam.

Mengulas mengenai ancaman parti lawan dan parti baru serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tajudin menjelaskan bahawa perkara berkenaan adalah asam garam di dalam dunia politik yang perlu dihadapi.

Namun tegas beliau, dengan semangat muafakat dan semboyan yang telah dibunyikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Tajudin menegaskan bahawa UMNO Bahagian Sik sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan tersebut dengan strategi tersendiri.

Katanya, bekas-bekas ahli UMNO yang menyertai PPBM itulah yang sebelum ini menjadi "gunting dalam lipatan" di dalam organisasi UMNO Bahagian Sik

"Hat yang dok sabotaj kita (UMNO Sik) pada pilihan raya puak-puak ni la.. dulu ancaman cara 'gelap', sekarang ni ancaman cara terang," katanya, yakin dapat mengekalkan status quo, 3-0.


Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim berkata, UMNO Bahagian Padang Terap yang dianggotainya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan kemenangan 3-0 yang berjaya dikecapi pada PRU ke-13 yang lalu.

"Suci dan bersih, saya yakin tidak ada sebarang masalah," jelas beliau mengenai UMNO Bahagian tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang juga merupakan Menteri Pendidikan Malaysia.

Kata beliau, kemantapan UMNO Bahagian Padang Terap agak sukar untuk memberi sebarang laluan mudah kepada PPBM untuk menyebar dakyah mereka di sana dan pelbagai program bagi meningkatkan jatidiri parti diadakan UMNO di Bahagian itu bagi mengekang parti serpihan tersebut.

Walau bagaimanapun, Ghazali tidak menolak mengenai andaian kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru di Parlimen atau Dun membabitkan PAS, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan PPBM di Padang Terap nanti.


Bagi Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Sapian menjelaskan bahawa meskipun mencatat kemengan 2-1 pada PRU ke-13 yang lalu, namun beliau mempunyai 'senjata rahsia' yang dijangka mampu memberikan kemenangan 3-0 di bahagian tersebut.

"Dalam konteks PRU ke-14, UMNO Bahagian Pendang telah pun bersedia dari segi teknikal, unit-unit pilihan raya telah lengkap beberapa bulan yang lalu.

"Dalam pemerhatian saya, Parlimen Pendang dan Dun Sungai Tiang insyaAllah akan kekal dengan baik dengan penambahan undi, kita yakin dengan kerja-kerja kebajikan yang dibuat oleh wakil-wakil rakyat kita Adun Sungai Tiang dan Ahli Parlimen telah berjalan dengan baik.

"Hampir setiap sudut masalah dalam Pendang telah dapat kita selesaikan khusus mengenai manifesto yang telah kita janjikan pada PRU ke-13 yang lalu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas mengenai Dun Tokai yang merupakan kubu kuat PAS, UMNO Bahagian Pendang menjanjikan saingan paling sengit dan beliau optimis Dun berkenaan berpotensi untuk ditawan pada PRU ke-14 nanti.

"Namun dalam konteks Dun Tokai, kita masih lagi berusaha untuk memastikan bahawa kita mempunyai margin yang baik bagi menghadapi PRU ke-14 ini.

"Ada beberapa sektor yang tak dapat saya terangkan di sini, tapi kita mempunyai keyakinan pada PRU ke-14 ini persaingan yang sengit dapat kita berikan pada parti-parti lawan kita di Dun Tokai," jelas beliau, cuba mendapatkan kemenangan mutlak 3-0 di Pendang," jelas beliau.

Mengulas mengenai beberapa bekas ahli UMNO yang kini menyertai PPBM, Speaker Dun Kedah itu menjelaskan bahawa mereka tidak menjadi "kudis" bagi UMNO Bahagian Pendang ekoran mereka-mereka itu dikenal pasti sebagai golongan yang kecewa selepas gagal dalam pemilihan parti sebelum ini.

UMNO Kedah semalam menganjurkan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 menyaksikan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap dan perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di Kedah berkampung di sini dengan penuh semangat dan jatidiri parti.

Menuju matlamat mengekalkan kemenangan bergaya dan mensasarkan majoriti dua pertiga Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti, percaturan UMNO dilihat sebagai paling stabil berbanding pepecahan dan kontroversi terkini yang terus menghantui di kalangan parti-parti pembangkang di negeri ini. -Kedahnews.com