UMNO Kedah Bentang 5 Ketetapan Rumusan Perbahasan


SUNGAI PETANI - Seluruh kepimpinan dan akar umbi UMNO Negeri Kedah sebulat suara memberikan solidariti sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merumuskan hasil perbahasan para perwakilan dari keseluruhan 15 UMNO Bahagian mengumumkan ketetapan pertama yang diputuskan dalam Konvensyen UMNO Kedah, di sini, semalam.

"Hasil perbahasan hari ini, saya merumuskan lima perkara iaitu pertamanya, Muafakat Kedah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO," kata beliau ketika memberi ucapan penutup konvensyen berkenaan, petang semalam.

Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi tradisi parti keramat bangsa itu sejak ditubuhkan sebelum merdeka dahulu untuk memberi kesetiaan penuh kepada Presiden parti dan ia perlu dijelaskan bagi memastikan institusi UMNO terus teguh di negara ini.

Selain itu, Mahdzir turut mengumumkan bahawa setiap UMNO Bahagian di negeri ini perlu saling bantu-membantu memperkukuhkan bahagian masing-masing termasuk mensiap-siagakan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Keduanya, setiap daripada kita mesti membantu UMNO Bahagian masing-masing untuk memperkukuhkan jentera parti menjelang PRU," tegas beliau, bagaikan memalu gendang perang pilihan raya.


Ketiga, Mahdzir yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah itu mengingatkan seluruh warga UMNO supaya mengenepikan pertelingkahan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya mengelakkan diri dari terlibat dari sebarang perkara yang memecah-belahkan perpaduan parti.

"Keempat, UMNO Kedah akan terus bersama dan bekerjasama dengan rakan-rakan parti komponen di semua peringkat, sama ada negeri atau bahagian," kata beliau dalam ucapan tersebut.

Sementara itu, ketetapan kelima yang dirumuskan dalam Konvensyen UMNO Kedah itu adalah untuk memastikan setiap anggota parti mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi untuk membentuk pasukan menghadapi PRU pada setiap masa bermula semalam.

Mahdzir dalam ucapan beliau turut memberi kata dua kepada seluruh pejuang UMNO di Kedah supaya menggunakan "module PRU 2013" untuk memenuhi matlamat memperoleh majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri (Dun), sebaliknya mengambil iktibar dari "module PRU 2008" yang memberikan sejarah pahit bagi parti tunjang itu sebelum ini.

 UMNO Kedah semalam menganjurkan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2016 menyaksikan lebih 1,000 kepimpinan UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap dan perwakilan dari 15 UMNO Bahagian di Kedah berkampung di sini dengan penuh semangat dan jatidiri parti.

Menuju matlamat mengekalkan kemenangan bergaya dan mensasarkan majoriti dua pertiga Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti, percaturan UMNO dilihat sebagai paling stabil berbanding pepecahan dan kontroversi terkini yang terus menghantui di kalangan parti-parti pembangkang di negeri ini. -Kedahnews.com