Usul RUU 355 Abdul Hadi Akan Dibentang Minggu Ini - TPM


KUALA LUMPUR - Usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu akan dibuat anggota Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk menterlibatkan anggota Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.

"Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya.

Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen pada Selasa.

Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Abdul Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

Usul Abdul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan malah kerap kali bertukar nombor giliran.

Sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini selepas berlangsung sejak 17 Oktober lalu.

RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Abdul Hadi pada Mei mengesahkan RUU itu bertujuan untuk memperluaskan lagi skop hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah dan bukan bermaksud untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Ahmad Zahid menjelaskan, taklimat sejam yang turut dihadiri anggota parlimen BN dan pembangkang, dibuat berikutan terdapat pelbagai tafsiran terhadap usul ahli persendirian tersebut apabila ia dibawa ke Parlimen sebelum ini.

"Undang-undang ini, pertamanya khusus untuk orang Islam dan kedua, tidak ada mana-mana peruntukan dalam mahkamah sivil akan diambil alih mahkamah syariah dengan pindaan berkenaan melainkan ia hanya untuk memperkasakan mahkamah umat Islam.

"Ketiga, dengan adanya jawatankuasa ini, semua perkara dan aspek yang menjadi kekhuatiran anggota Parlimen bukan Islam sama ada di dalam atau luar BN akan diperhalusi," katanya. - Bernama