UUM Catat Rekod Hasilkan 9,500 Peneram 48 Jam Tanpa Henti


SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menempa nama dalam Malaysia Book of Records apabila mencipta rekod baharu penghasilan kuih tradisi Kedah, cucur peneram, sebanyak 9,500 biji selama 48 jam tanpa henti.

Program itu yang dianjur Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM) bermula 3 petang Isnin dan berakhir 3.30 petang ini disertai 385 penuntut UUM, termasuk penuntut asing dari Bangladesh dan China.

Pengarah program, Muhammad Shah Kamal Ideris berkata melalui sumbangan penuh daripada Pejabat Menteri Besar Kedah, penghasilan cucur peneram itu membabitkan kos kira-kira RM6,000.

“Kami menggunakan 50 kilogram tepung, 7.5 kilogram gula, 17 liter air dan 30 kilogram gula merah dengan purata penghasilan bagi setiap kilo doh iaitu 190 hingga 200 biji,” katanya kepada pemberita selepas tamat program tersebut.

Setiap pusingan mengambil masa 30 minit dengan melibatkan lima peserta yang bergilir-gilir membuat kuih tersebut.

Mohammad berkata kuih yang dihasilkan itu kemudiannya diagihkan kepada peserta yang mengambil bahagian, pensyarah, dan penuntut SHTEM selain turut dijual kepada mereka yang berminat membelinya.

Dalam majlis itu, Pegawai Khas dari Malaysia Book of Records (MBOR) Nurasyikin Ramli menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Dekan SHTEM Prof Madya Dr Basri Rashid.

Sementara itu Basri berkata penganjuran program itu amat bersesuaian dengan matlamat utama Discover UUM 2016 sebagai satu platform untuk menarik lebih ramai pihak luar untuk melawat UUM sekaligus mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016.

“Pada 2012, pelajar UUM juga ada memecahkan rekod dalam MBOR melalui penghasilan kuih jala tanpa henti selama 72 jam, dan kali ini kami pilih cucur peneram kerana ia juga merupakan antara makanan tradisi Kedah,” katanya.

Nurasyikin pula berkata rekod mengenai penghasilan cucur peneram selama 48 jam itu akan diterbitkan dalam MBOR pada 2018.

“Ini merupakan pertama kali rekod mengenai cucur peneram dicatatkan. Cucur peneram merupakan makanan tradisi masyarakat Malaysia terutama di Kedah sebab itu kita menyokong program ini,” katanya. – BERNAMA