Video Viral: Dikejar Anjing, Suka Duka Wartawan Buat Liputan


SEBUAH rakaman video memaparkan seorang wartawan NTV7 dikejar anjing semasa membuat liputan enam tahun lalu tersebar menjadi viral di laman sosial.

Video berdurasi 13 saat itu membuatkan para netizen yang menyaksikannya terdekah-dekah ketawa geli hati.

Difahamkan, video itu dimuat naik oleh rakan sekerja mangsa, Sarah Abdullah Al Qudsi di laman Facebooknya pada 24 September 2011, sebelum kembali menjadi viral kini.

Menerusi video itu, wartawan berkenaan iaitu Mastura Malak dilihat sedang membuat liputan mengenai isu air di hadapan sebuah rumah pam, tanpa menyedari dua ekor anjing sedang berlari dari arah belakangnya.

Dia yang terkejut dengan kehadiran anjing berkenaan, kemudian sempat menjerit "emmaaak..!" sebelum rakaman itu terhenti.


Jurukamera yang merakam video itu juga difaham segera melarikan diri apabila melihat anjing berkenaan berlari kearah mereka.

Akibat insiden itu, Mastura menjadi bahan ketawa rakan-rakan selama beberapa minggu.

Menurut maklumat yang kami terima di laman sosialnya, Mastura tidak lagi bekerja  sebagai wartawan NTV7, namun kini sedang sibuk dengan perniagaan sendiri.


Begitulah suka duka kenangan yang diharungi kami wartawan yang terdedah kepada pelbagai perkara tidak dijangka yang kadang kala melucukan, mendebarkan, menyakitkan hati dimaki hamun, penuh bahaya dan ada yang pernah diugut pihak tertentu.

Apapun, segala pengalaman tersebut merupakan asam garam yang perlu ditelan bagi pengamal media seperti kami dan segalanya akan terpahat dalam lipatan sejarah hidup yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidup! – Kedahnews.com