Zuraida Gesa Suami "Heret" Isteri Aktif Berpolitik


SHAH ALAM - Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa para suami di negara ini supaya tidak meninggalkan isteri di rumah ketika keluar berjuang berpolitik, sebaliknya "mengheret" sama isteri mereka supaya mereka dapat bersama-sama menyertai perjuangan politik pembangkang.

Beliau memberi contoh ketika mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara di zaman reformasi ketika menentang kezaliman Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu yang turut mengheret isteri mereka ke jalanan untuk menyertai demonstrasi.

"Dulu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara, saya lihat ramai suami mengheret isteri mereka turun ke jalanan untuk sama-sama berdemonstrasi.

"Sekarang saya lihat, para suami lebih suka meninggalkan isteri mereka di rumah," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2016 di sini, semalam.

Menurut Zuraida, golongan wanita hari ini harus didedahkan dengan perjuangan politik tanah air dan sudah mampu mendepani cabaran politik.

"Golongan wanita sudah  terbukti mampu menangani cabaran politik yang ada di negara ini pada masa kini.

"Di Dewan Rakyat pun kita boleh tengok bertambahnya wakil rakyat dan pemimpin dari golongan wanita," katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Puluhan ribu penyokong Anwar berhimpun di perkarangan Dataran Merdeka dan sekitar mahkamah perbicaraan di ibu negara melaungkan jeritan "reformasi" selain mengutuk kezaliman Tun Mahathir.

Tun Mahathir yang memecat Anwar dari semua jawatan parti dan kerajaan ketika itu popular dengan gelaran "Maha-Zalim", "Maha-Firaun" dan seumpamanya.

Anwar selepas dipecat telah diheret ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan jenayah liwat membabitkan beberapa individu turut dilabel Tun Mahathir sebagai individu yang tidak bermoral serta tidak layak menjadi pemimpin negara. -Kedahnews.com