1,000 Tan Bekalan Akan Dibawa Ke Rohingya Dari Malaysia


KUALA LUMPUR - Kelab Putera 1Malaysia bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bercadang menghantar 1,000 tan metrik makanan serta keperluan asas kepada etnik Rohingya di Myanmar pada 10 Januari depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Farid Hassan berkata misi bantuan itu akan disertai 200 sukarelawan termasuk doktor dan media antarabangsa dengan menggunakan dua buah kapal.

Katanya, antara NGO yang akan menyertainya ialah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) serta beberapa badan NGO luar negara.

"Kita merancang untuk menghantar bekalan ini melalui pelabuhan Sittwe, Myanmar dan sekiranya pihak Myanmar tidak membenarkannya, kita akan menggunakan laluan Teknaf, Bangladesh sebagai laluan alternatif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Tabung Selamatkan Warga Rohingya anjuran DMDI di sini, Rabu.

Turut hadir Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

Pada majlis itu, Mohd Ali menyerahkan replika cek sebanyak RM12,500 kepada Majlis Ulama Rohingya (MUR), Tabung Rohingya Media Prima dan Utusan-Tabung Haji yang dikutip melalui Forum Antarabangsa Rohingya Stop Genocide baru-baru ini.

Mohd Ali berkata pihaknya serta Serantau Muslim akan ke Sekretariat Komanwel di London bagi menyerahkan momerandum untuk mendesak Bangladesh membuka pintu sempadan dan menyediakan kem pelarian untuk etnik Rohingya.

"Desakan terhadap Myanmar kini dianggap tidak berkesan kerana Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi tidak mengambil serius hal ini.

"Oleh itu, memorandum ini adalah pendekatan DMDI untuk membantu serta menghentikan kekejaman yang berlaku di Myanmar," katanya.

Sumber: mStar