10,000 Murid Terima Manfaat Program Bantuan Persekolahan Di Kedah

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Seramai hampir 10,000 murid sekolah rendah yang bakal kembali memulakan sesi persekolahan pada awal tahun depan di negeri Kedah bakal menerima bantuan dari Kerajaan Negeri.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, bantuan berupa sepasang uniform sekolah, sepasang kasut, stokin dan satu beg sekolah akan diagih mengikut parlimen masing-masing dalam tempoh terdekat.

"Bantuan adalah berupa sepasang baju dan seluar, sepasang kasut, stokin dan satu beg sekolah.

"Setiap kawasan Parlimen akan memberi bantuan kepada 600 pelajar, yang secara keseluruhannya memberi faedah kepada hampir 10,000 pelajar di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Program bantuan persekolahan berkenaan disasarkan kepada murid-murid dari golongan keluarga yang kurang berkemampuan di serata negeri Kedah.

Jelas Shaiful Hazizy, antara tujuan utama program bantuan persekolahan tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri adalah untuk memberi sedikit kelegaan kepada ibubapa yang sedang membuat persiapan bagi permulaan persekolahan tahun hadapan.

Petang semalam berlangsung majlis penyerahan pertama bantuan persekolahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok yang disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Merbok, Habsoh Ahmad. -Kedahnews.com