15,000 Dijangka Sambut Kepulangan Yg DiPertuan Agong Ke Kedah


ALOR SETAR - Seramai 15,000 rakyat negeri ini dijangka membanjiri sepanjang jalan pada acara Perarakan Diraja dan Lambaian Kasih sempena Keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Sultan Kedah, Isnin depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sambutan itu diadakan sempena tamat tempoh pelantikan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember ini.

Katanya, baginda bersama Raja Permaisuri, Tuanku Hajah Haminah, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dekat sini, pada jam 11.15 pagi.

"Tuanku kemudian akan mengikuti acara Perarakan Diraja dan Lambaian Kasih dari lapangan terbang ke Istana Anak Bukit, dekat sini, sejauh kira-kira 4.7 kilometer (km).

"Ia membabitkan sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke Istana Anak Bukit bagi menyambut kepulangan Tuanku. Kita jemput semua tak kira parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Kita akan menyediakan lebih 10,000 kaki payung sekiranya hujan," katanya.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan sambutan Keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, di Wisma Darul Aman sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, sepanjang jalan dari lapangan terbang ke Istana Anak Bukit akan ditutup seawal jam 10 pagi bagi memudahkan program berlangsung.

"Selepas acara perarakan itu, Tuanku akan menyempurnakan sambutan dan santapan tengah hari di Istana Anak Bukit, dekat sini," katanya.

Tuanku Abdul Halim, dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua pada 13 Disember 2011 bagi menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Baginda diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, dekat sini dan adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Sumber: BH Online