18 Tahun Mamat Khalid Buat Kajian Filem Pasir Salak


PETALING JAYA – Pengarah filem Mamat Khalid optimis dalam merealisasikan projek terbaharunya iaitu sebuah filem epik yang mengangkat sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British di Pasir Salak, Perak selepas 18 tahun membuat kajian.

Mamat, 53, berkata, tempoh lama diambil untuk membuat kajian itu kerana ingin memastikan fakta ditampilkan tepat selain ingin mengangkat kisah tidak diketahui umum tentang kawasan bersejarah itu.

“Saya sebenarnya minat tentang sejarah Melayu dan Pasir Salak antara salah satu subjek yang mempunyai pelbagai kisah boleh diketengahkan.

“Sejak tahun 1998 saya buat kajian tentang Pasir Salak dan mengambil masa lama sebelum memutuskan untuk hasilkan filemnya kerana banyak perkara perlu diperhalusi berhubung fakta.

“Tetapi selepas 18 tahun membuat kajian saya yakin dengan semua maklumat yang diperolehi sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Tambah Mamat, projek berkenaan turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan kerajaan negeri Perak.


Dalam pada itu, Mamat berkata, menerusi filem itu nanti dia ingin mengangkat tentang pengorbanan pahlawan Melayu yang tidak didendang penglibatan mereka dalam menumpaskan kuasa jajahan British di Pasir Salak.

“Ini yang saya kata banyak fakta tidak diketahui termasuklah tentang pahlawan-pahlawan Melayu lain yang turut menyumbang kepada sejarah Pasir Salak dan saya ingin ketengahkan.

“Terlalu banyak kisah menarik sebenarnya tentang Pasir Salak sehingga saya sendiri tidak tahu bagaimana ingin memasukkan kesemuanya dalam filem ini.

“Tetapi menjadi hasrat saya untuk mengangkat tentang sumbangan pahlawan-pahlawan ini selain kisah yang telah pun diketahui umum tentang kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Mamat berkata, dia mempunyai beberapa nama untuk membarisi filem itu seperti Datuk Rahim Razali, Datuk M. Nasir, Datuk Ahmad Tarmimi Serigar, Hasnul Rahmat, Khir Rahman, Nam Ron, Bront Palarae dan Sofi Jikan.


Katanya, pemilihan nama-nama berkenaan dibuat berdasarkan watak-watak yang ingin ditampilkan selain yakin dengan kredibiliti mereka sebagai pelakon.

“Pemilihan setiap pelakon mempunyai sebab khusus dan ia berdasarkan kepada karakter pahlawan-pahlawan yang ingin diketengahkan.

“Harap-harap semua nama-nama berkenaan bersetuju untuk terlibat dalam filem ini nanti,” katanya yang menjangkakan penghasilan filem ini bakal menelan kos sebanyak RM5 juta.

Dalam perkembangan sama, Mamat berkata, pihaknya sedang dalam proses penelitian skrip dan menjangkakan penggambaran dapat dilakukan pada tahun hadapan.

Sumber: mStar