5 Bulan Hattan Tak Merokok Dapat Jimat RM5,000


PETALING JAYA – Bukan mudah untuk berhenti merokok secara mendadak. Ia memerlukan tekad dan azam yang kuat.

Bagi sesiapa yang menyimpan hasrat melakukan sedemikian, mungkin boleh menjadikan penyanyi lagu Rendang tak Berbuah, Hattan, sebagai inspirasi.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 52 tahun berkongsi pengalaman beliau yang membulatkan tekad untuk berhenti merokok secara mendadak.

Menurut beliau, pada awalnya badan menjadi lemah selain perasaan gian yang menguasai diri, namun lama-kelamaan ia kembali pulih, lapor laman mStar.

“Jujur saya katakan ia bukan proses yang mudah tambahan pula saya berhenti terus dan bukannya secara beransur-ansur.

“Memang badan rasa sangat lemah mungkin kerana tiada nikotin dalam badan namun saya tetap bertahan dan bertekad dengan keputusan yang diambil.

“Alhamdulillah selepas lima bulan meninggalkan tabiat merokok saya semakin bersemangat dan perasaan gian sudah berkurangan,” katanya kepada mStar Online.

Hattan memutuskan untuk berhenti merokok kerana menyedari pembaziran wang selama ini, selain faktor kesihatan.

Beliau menambah, setiap hari dia akan menghabiskan sekurang-kurangnya RM34 untuk membeli dua bungkus rokok dan secara purata membelanjakan sekitar RM1,000 sebulan untuk tujuan tersebut.

“Saya terfikir apa yang boleh saya lakukan dengan RM1,000 dan ketika itu saya nekad untuk berhenti merokok dan menggunakan wang untuk membeli rokok bagi tujuan lain.

“Disamping itu juga saya beritahu diri jika tidak sekarang saya berhenti daripada tabiat buruk ini, bila lagi saya akan berbuat demikian?” ujarnya.

Kata beliau, meskipun tidak membeli rokok, setiap hari beliau tetap mengasingkan wang RM34 untuk dimasukkan ke dalam tabung, lapor mStar.

“Setiap hari seperti biasa saya akan mengeluarkan RM34 daripada dompet untuk dimasukkan ke dalam tabung dan Alhamdulillah selepas lima bulan ia semakin banyak.

“Wang berkenaan saya simpan untuk berikan kepada anak saya Adam untuk dia membeli barang yang dia ingini.

“Itu adalah lebih baik daripada saya membeli rokok,” ujarnya.

Sumber: mStar