5 Sekawan Dituduh Halang Tugas Penjawat Awam, Milik Senjata

Empat tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani manakala seorang lagi tertuduh kini berada di Penjara Pokok Sena.
SUNGAI PETANI – Lima sekawan dituduh menghalang tugas penjawat awam ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, kelmarin.

Kesemua tertuduh, J Rasvindar Singh Jaggir Singh, 31, Suria Prasad Gunasegaran, 20, Mazlan Hassan Sha, 31, Heng Eng Hock, 39, dan seorang lagi yang kini berada di Penjara Pokok Sena, Zamani Mohd Ibrahim, 24, dihadapkan ke mahkamah tas pertuduhan berkenaan.

Kesemua mereka melakukan perbuatan itu pada 27 November 2016 jam lebih kurang 9 pagi bertempat di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Bijaya Setia, Kampung Batu Dua, Jalan Kuala Ketil.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didapati menghalang Koperal Redzuan Abd Razak dan Koperal Sokongan Khairul Izar Mohd Roszi dengan melarikan diri dari pemeriksaan dan cuba melanggar semasa mereka menjalankan tugas sebagai penjawat awam.

Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Faraheen Yahya di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Tertuduh pertama, Rasvindar Singh mengaku bersalah atas pertuduhan manakala tertuduh lain tidak mengaku bersalah.

Nurul Faraheen menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 seorang kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kesemuanya merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungan serta isteri tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada setiap minggu.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember 2016.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, kesemua mereka dituduh bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, pada tarikh, jam dan tempat yang sama, tertuduh didapati memiliki tiga bilah pisau lipat dalam kereta Proton Waja berwarna putih yang dinaiki semasa kejadian.

Hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan Nurul Faraheen di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mahkamah menetapkan 19 Januari 2017 sebagai sebutan semula kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, akhbar melaporkan lima suspek melarikan diri di mana salah seorang daripadanya cuba mengajukan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengena kaki salah seorang suspek menyebabkan kesemua mereka ditahan.

Sumber: Sinar Harian