6 Kampung Di Baling Dilanda Banjir Setinggi 1 Meter

PEGAWAI Khas Ahli Parlimen Baling, Zulkifle Md Amin membantu Siti Fatimah Abu Hassan, 65, yang turut menjadi mangsa banjir kilat malam semalam.- Foto Safuri Kamarudin
BALING - Hujan lebat selama dua jam sejak jam 8 malam semalam menyebabkan 52 keluarga dari enam kampung di daerah ini dipindahkan sementara selepas rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter.

Kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Sera Bawah, Rambong Pulai, Pak Bong, Gabus, Pekan Lama Pulai dan Telok Durian Kupang.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan kampung berhampiran Sungai Ketil dinaiki air.

"Ada antara keluarga yang berpindah sementara ke rumah jiran," katanya yang ditemui di sini, semalam.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah mengesahkan banjir kilat menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air setinggi satu meter.

"Kami tiba di lokasi kejadian kurang 30 minit selepas menerima panggilan jam 9.22 malam sebelum membantu mangsa berpindah ke tempat selamat dan rumah saudara mara yang tidak terjejas.

"Bagaimanapun, kini air semakin surut dan penduduk dijangka dapat pulang ke rumah masing-masing menjelang pagi ini," katanya.

Sumber: BH Online