85,777 Sertai SSP1M, Caruman Lebih RM460 Juta - Othman Aziz


KUALA LUMPUR – Sebanyak 85,577 pencarum telah menyertai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SSP1M) dengan jumlah caruman melebihi RM462.2 juta sehingga November tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata daripada jumlah tersebut, seramai 11,086 ahli layak menerima sumbangan dividen tambahan iaitu maksimum RM120 setahun daripada kerajaan bagi separuh tahun pertama tahun ini.

“Bagi Skim Persaraan Swasta (PRS) pula, seramai 212,000 pencarum telah membuat caruman di lapan institusi kewangan yang terlibat dengan nilai aset bersih berjumlah RM1.38 bilion.

“Kedua-dua skim ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mewujudkan budaya penyimpanan untuk persaraan bagi golongan muda dan bekerja sendiri serta tiada pendapatan tetap dan ia ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat berhubung sambutan terhadap dua skim berkenaan sejak ia dilancarkan pada 2010 dan 2012 pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, semalam.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Datuk Yoo Wei How berhubung perancangan kementerian untuk membantu ekosistem pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Othman berkata industri kewangan telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu PKS apabila setakat September lalu, sebanyak RM290.4 bilion jumlah pembiayaan terkumpul telah direkodkan dengan peningkatan sebanyak 8.2 peratus.

Jelasnya, jaminan kredit juga disediakan kepada para usahawan yang ingin mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tetapi tidak mempunyai cagaran atau rekod prestasi iaitu melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.

“Usahawan mikro juga boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Mikro tanpa cagaran sehingga RM50,000 di 10 institusi kewangan terpilih,” tambahnya. – BERNAMA