Islamophobia (kegentaran kepada Islam) adalah fenomena yang berkembang di Barat dan memberi kesan kepada puak liberal, sekularis dan pluralis di Malaysia termasuk orang Islam sendiri.
Mereka yang tidak cuba memahami sejarah perundangan syariah di Malaysia melakukan penentangan terbuka tanpa terlebih dahulu menyemak maksud aplikasi syariah yang dibenarkan oleh undang-undang serta Perlembagaan negara dan berjalan dalam negara ini di banyak bidang dan lapangan.
Islam memiliki suatu sistem kepercayaan dan cara hidup. Cara hidup Islam tidak saja dipedomankan oleh akidah tetapi juga syariah. Syariah dalam pemakanan berkembang di Malaysia, penggunaan patuh syariah dalam perbankan dan insurans juga sukuk terjadi.
Syariah dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini menjadi suatu kenyataan. Syariah dalam perundangan keluarga dan syariah dalam jenayah juga menjadi fokus.
Penglibatan orang bukan Islam dalam Bank Rakyat umpamanya tidak pula berbangkit untuk dibantah sedangkan aplikasi syariah dalam perbankan membawa kepada kestabilan dan keuntungan.
Tetapi apabila berbangkit isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang khusus untuk orang Islam dan bukannya hudud, ia ditentang oleh orang bukan Islam termasuk yang menganggotai BN. Kalau DAP menentang ia mudah difahami kerana Pas tidak lagi bersama dengan Pakatan Harapan.
Anehnya ulama dalam PAN dan PKR yang datang daripada tokoh-tokoh dalam gerakan Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) tidak mengambil sikap yang jelas.
Ternyata ia ditentang bukan kerana faktor peningkatan kuasa mahkamah syariah tetapi aspek politik yang menyebabkan RUU 355 lahir. Umum mengetahui pakatan antara ulama-ilmuwan Pas dan UMNO menyebabkan ia lahir dan kelulusannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menimbulkan syak wasangka bahawa UMNO-Pas sedang bekerjasama.
Memang DAP amat takut kepada kerjasama Pas-UMNO sebab itu dasar pecah dan perintah kumpulan-kumpulan Melayu dalam politik melahirkan PAN untuk bertempur dengan Pas dan mengekalkan usaha menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) cuba mencari alternatif.
Pendukung PAN dan PKR sebahagiannya ada tarbiah dalam gerakan Islam. Tetapi mengapa mereka membisu dalam soal RUU 355 sedangkan semasa mereka dalam Pas dulu, UMNO dikecam hebat kononnya tidak bersetuju kepada hudud.
Hairannya mengapa kesediaan Pas mengambil pendekatan politik matang dan sejahtera menjadi pertikaian sedangkan pendekatan menyantuni itu sesuatu yang dianjurkan Islam. Kumpulan-kumpulan politik Melayu lebih suka menjadi perkakas DAP untuk maksud kuasa.
Kekuasaan politik orang Melayu sebagai asas kekuatan politik Malaysia menjadi sesuatu yang sangat penting. Tanpanya orang Melayu bakal hilang kuasa.
Takdirnya, ini terjadi agenda memperkasa umat dan memberi kestabilan kepada politik Malaysia akan tergugat. Akhir-akhir ini soal kerjasama UMNO-Pas timbul kembali.
Ini bukanlah suatu hal ganjil kerana banyak titik persamaan perjuangan UMNO dan Pas yang perlu disuburkan demi kelangsungan politik orang Melayu. Ini tidak bermakna meminggirkan politik bukan Melayu. Selagi kita patuh kepada semangat dan isi Perlembagaan negara selagi itu kita berada di landasan yang betul.
Menjadi suatu bahaya besar sekiranya syariat Islam disalah fahami seperti juga salah faham terhadap Islam itu sendiri. Jangan kerana fahaman politik sempit, sifat oportunis dan rasis yang tebal menyebabkan hak bersyariah umat Islam dinafikan.
Inilah yang menjadi kebimbangan pihak-pihak berkepentingan sempit dalam negara dan luar negara supaya Malaysia menganut fahaman sekular dan liberal yang anti kepada nilai-nilai agama.
Sumber: Utusan