Aksem Perlis Rampas 200 Kilogram Daun Ketum


KUALA PERLIS - Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Perlis merampas sembilan guni daun ketum seberat 200 kilogram bernilai RM10,000 setelah mematahkan satu cubaan menyeludup tumbuhan itu ke negara jiran di sini, kelmarin.

Menurut Komandernya, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, pasukan Aksem Kuala Perlis yang membuat serbuan itu turut menahan sebuah bot fiber bernilai kira-kira RM4,000 yang digunakan oleh penyeludup.

"Penyeludup bagaimanapun melarikan diri meninggalkan bot semasa pasukan Aksem menyerbu mereka di Pulau Ketam di sini kira-kira pukul 11 pagi," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Syed Basri berkata kes itu diserahkan kepada Bahagian Narkotik Polis Kangar dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. –Bernama