Alasan Kebudak-Budakan, Mukhriz Dicabar Dedah Jumlah Ahli PPBM


ALOR SETAR - Alasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kononnya mendapat sambutan hangat namun enggan mendedahkan jumlah keahlian parti baru itu disifatkan sebagai kurang matang dan kebudak-budakan.

Justeru itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencabar Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya menjadi 'anak jantan' mendedahkan jumlah sebenar keahlian partinya dan tidak berselindung di sebalik alasan tersebut.

"Pemuda UMNO Kedah juga ingin mencabar PPBM utk mendedahkan jumlah sebenar ahli PPBM di negeri Kedah.

"Alasan bahawa ini adalah satu strategi adalah alasan yg terlalu kurang matang dan kebudak-budakan. Pemuda Kedah yakin jumlah yg digembar gemburkan adalah tidak seberapa PPBM Kedah cuba bermain perang psikologi," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Namun begitu, Shaiful Hazizy yakin bahawa berapa sekali pun jumlah yang bakal diumumkan Mukhriz kelak hanyalah merupakan "indah khabar dari rupa" dan berkemungkinan besar bukan jumlah keahlian PPBM yang sebenar.

PPBM sebelum ini turut dicabar beberapa pihak untuk mendedahkan jumlah keahlian parti tersebut ekoran mendakwa parti serpihan UMNO itu kononnya mendapat sambutan dari kalangan orang muda.

Walau bagaimanapun, parti yang dilabel orang Kedah sebagai 'cap Bunga Raya' itu enggan menjawab cabaran tersebut dan hanya berselindung di sebalik alasan "strategi politik" semata-mata.

Ekoran itu desas-desus mengatakan bahawa parti itu hanya berjaya mendapat beberapa puluh ribu ahli sahaja di seluruh negara dan dilihat terdesak berkempen mengumpul keahlian parti, termasuk di pasar-pasar malam. -Kedahnews.com