Aman Laut RM1.2 Bilion Bantu Rakyat Kedah Miliki Kediaman Sendiri


ALOR SETAR - Berteraskan konsep membantu rakyat Kedah memiliki kediaman sendiri, Property Builder KK Sdn Bhd komited membangunkan projek pembangunan bercampur Aman Laut di pantai Kuala Kedah bermula Mac tahun depan.

Patuh kepada dasar kerajaan negeri yang menetapkan harga rumah tidak melebihi RM250,000 seunit, projek pembangunan membabitkan komuniti berpagar itu akan menjadi pintu masuk ke Pulau Langkawi selain menawarkan kemudahan kelas pertama seperti bazar membeli-belah.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.2 bilion tersebut membabitkan empat fasa iaitu Fasa 1, 1A, 2 dan 3 di atas keluasan 49.4 hektar tanah yang ditebus guna.

Jelas beliau, harga jualan kondominium bagi Fasa 1 antara RM180,000 hingga RM240,000 seunit, manakala bagi Fasa 1A pula pada harga tidak melebihi RM250,000 seunit.

"Sebanyak 906 unit membabitkan 92 unit kedai setingkat; 84 unit kedai dua tingkat; dan enam blok pangsapuri (730 unit) yang masing-masing 25 tingkat akan didirikan untuk Fasa 1.

"Bagi Fasa 1A, sebanyak 985 unit membabitkan satu blok 23 tingkat pangsapuri kos sederhana, dua blok 20 tingkat sederhana rendah dan dua blok 19 tingkat kos rendah.

"Kedua-dua fasa ini diperuntukkan sejumlah RM650 juta yang dijangka siap pada tahun 2020," katanya dalam sidang media selepas menandatangani memorandum (MoU), di ibu negara, semalam.

Majlis MoU berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, Iskandar Dzulkarnain, dan Pengerusi PKB Development Sdn Bhd, Datuk Ismail Hamid yang disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Memetik laporan Berita Harian, Iskandar Dzulkarnain menjelaskan bahawa Fasa 2 projek berkenaan diperuntukkan untuk pembangunan masa depan, manakala pelan semasa bagi Fasa 3 akan menampilkan banglo mewah, rumah berkembar dan kondominium mewah.

Mengulas lanjut, projek berprofil tinggi itu dijangka akan mengambil masa selama 10 tahun bagi keempat-empat fasa dan akan menjadi satu siri bersepadu bagi rumah, pejabat, kedai serta kemudahan rekreasi dengan pemandangan yang menakjubkan dari laut.

"Penduduk juga akan mempunyai akses kepada gaya hidup marina yang akan membentuk intipati daripada aktiviti luar rumah, perkhidmatan bot dan kapal layar sebagai aset pengangkutan serta hobi.

"Pembangunan Aman Laut boleh menjadi pengubah permainan yang mentransformasikan pasaran hartanah Kedah dan dijangka menjadi bandar baru yang terletak di pantai Kuala Kedah.

"Penduduk akan menikmati resort dengan kemudahan bertaraf dunia termasuk banglo mewah, kondominium bergaya, pusat gaya hidup berkualiti dan restoran mewah," ujar beliau. - Kedahnews.com