Anak Maut Digilis Bapa Sendiri Di Pontian


JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun maut digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu ayahnya di sebuah kolej di Pulai Sebatang, Pontian, kelmarin.

‎Ketua Polis Daerah Pontian, Supt. Zakaria Abdul Rahman berkata pada kejadian 11.40 pagi itu, pemandu tersebut tidak menyedari akan kehadiran anaknya yang berada di hadapan ‎kenderaan ketika hendak memulakan perjalanan.

Katanya, tindakan tersebut menyebabkan kanak-kanak itu tergilis. ‎

“Pemandu yang berasal dari Selangor itu datang ke Pontian untuk menguruskan urusan salah seorang anaknya ke sebuah kolej di sini.

“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian dan bedah siasat juga tidak dijalankan atas permintaan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA