Ancaman Bom Di Kompleks Mahkamah Kota Bharu


KOTA BAHRU – Kakitangan Mahkamah Kota Bahru dan orang awam terkejut apabila diarahkan keluar selepas dipercayai menerima ancaman bom kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Media tempatan melaporkan, kakitangan mahkamah menerima panggilan ancaman bom daripada individu tidak dikenali sebelum semua yang berada di dalam kompleks mahkamah diarahkan keluar.

Susulan kejadian itu, urusan dan prosiding mahkamah terpaksa ditangguhkan bagi pemeriksaan dijalankan.

Panggilan ancaman bom ini adalah kali kedua selepas operasi di Mahkamah Kota Bharu, Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu dan Mahkamah Syariah Kota Bharu terpaksa dihentikan buat berikutan menerima ancaman sama pada 29 November lalu.

Orang awam dan kakitangan mahkamah masih berada di luar perkarangan kompleks bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu. – Kedahnews.com