Anina Suruh Tanya Mukhriz, Muhyiddin Tentang Perasaan Dilucut Jawatan


ALOR SETAR - Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin terlupa untuk bertanya kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perasaan mereka ketika dilucutkan dari jawatan yang disandang.

Mengulas mengenai perasaannya setelah disahkan tidak dilantik sebagai Ketua Srikandi PPBM, Anina meminta soal tentang perasaan itu diajukan kepada Mukhriz dan Muhyiddin terlebih dahulu sebelum dia memberi jawapan mengenainya.

"Tanya perasaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz apabila dilucutkan jawatan oleh UMNO. Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas tu saya jawab apa perasaan saya.

"Dulu ketika saya bela mereka, saya lupa nak bertanya perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang,"
kata Anina, semalam.

Anina menjelaskan bahawa dia hanya tahu tentang dirinya yang tidak dilantik ke jawatan sayap parti itu dari Mukhriz dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh, beberapa hari yang lalu.

Katanya, kedua pemimpin PPBM tersebut memaklumkan padanya bahawa namanya tidak disyorkan kepada Majlis Presiden bagi jawatan tersebut.

"Depa (mereka) kata saya tidak disyorkan oleh majlis presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi,"katanya, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Kamaruddin Md Noor menjelaskan bahawa Anina tidak pernah menjadi ketua Srikandi secara rasmi sejak awal lagi.

"Dia tidak pernah dilantik, kerana sayap Srikandi tidak ditubuhkan secara rasmi," jelasnya.

Kata Kamaruddin, pelantikan empat pemimpin Srikandi lain yang diumumkan Anina pada awal bulan ini juga tidak sah dalam parti. -Kedahnews.com