Annuar Musa Sedia Bantu KAFA, Tapi Bukan Sebagai Presiden


KOTA BHARU – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bersedia membantu badan induk bola sepak negeri itu menyelesaikan masalah kewangan, namun bukan sebagai presiden KAFA.

Annuar berkata beliau menghargai nasihat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu beliau membantu persatuan itu, yang kini menghadapi masalah kewangan agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors (TRW) untuk menyaksikan pasukan berkenaan terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Dia (Perdana Menteri) kata, anda tolonglah, saya jawab Insya-Allah tuan, benar-benar menghargai keprihatinan dan nasihat tuan, itu saja, tak timbul soal saya kekal (sebagai Presiden KAFA),” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.

Semalam, Najib berharap persatuan bola sepak negeri-negeri mencari jalan mengatasi masalah kewangan yang mereka hadapi.

Perdana Menteri bimbang apabila mendapat tahu persatuan-persatuan itu termasuk KAFA mahu menarik diri daripada Liga M 2017 berikutan masalah kewangan.

Annuar yang meletak jawatan sebagai presiden KAFA pada 8 Nov lalu, berkata beliau terharu apabila seorang ‘big bos’ (perdana menteri) begitu prihatin dan mahu mengetahui masalah yang dihadapi KAFA.

Sehubungan itu, Annuar membidas tindakan pihak tertentu yang menuduh kemelut yang dihadapi KAFA sebagai sandiwara.

Akhbar sebelum ini melaporkan KAFA memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu bagi musim depan dan difahamkan kantung persatuan itu ketika ini hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia musim depan akan dibuat menerusi kongres luar biasa KAFA pada 29 Dis ini.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi Red One Network Sdn Bhd berhasrat untuk menjadi antara penaja pasukan Kelantan supaya terus beraksi pada saingan Liga M 2017.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Ben Teh berkata pihaknya akan berbincang dengan KAFA berhubung penajaan tersebut dalam masa terdekat.

Syarikat tersebut sebelum ini, menaja pasukan TRW selama dua musim sejak 2015. – BERNAMA