Anwar Tetap Calon PM, Muhyiddin Hanya TPM "Sementara" – Kit Siang


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan akan tetap memilih Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat sebagai calon Perdana Menteri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Anwar yang didapati salah atas jenayah yang dilakukan terhadap pembantu peribadinya akan tetap menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan walaupun wujud kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tegas beliau, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk sementara sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.

“Keputusan Pakatan Harapan bahawa Anwar sebagai Perdana Menteri apabila pakatan pembangkang menang pilihan raya umum masih tidak berubah.

“Kita akan cuma memerlukan Perdana Menteri sementara sebelum Anwar dibebaskan. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar) calon yang baik memegang jawatan itu.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi Timbalan Perdana Menteri sementara,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Pakatan Harapan dan PPBM baru-baru ini menandatangani satu perjanjian kerjasama semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Konflik timbul tidak lama selepas itu apabila sebahagian besar penyokong kedua-dua pihak mula mempersoalkan siapa bakal Perdana Menteri jika UMNO dan BN berjaya ditumbangkan.

Penyokong Pakatan Harapan mahu Anwar atau Lim Guan Eng menjadi Perdana Menteri, manakala penyokong PPBM mahu Muhyiddin memegang jawatan itu. – Kedahnews.com