Aura Dr Mahathir Pudar Sejak Jadi "Gurkha" DAP


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan telah menjejaskan imej beliau sendiri dengan menjadi "gurkha" kepada DAP apabila kini sanggup turun padang memuji parti yang beliau kutuk sebelum ini di depan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan Dr Mahathir itu adalah satu langkah sumbang ekoran rakyat Kedah telah lama tahu tentang siapakah DAP yang sebenarnya.

"Dalam program Bicara Rakyat itu juga yang jelas, DAP beroleh untung, kerana satu persatu penceramah sebelum Mahathir asyik mempromosikan kebaikan DAP.

"Sekali lagi satu langkah taktikal yang silap kerana sentiment gagal dibaca. Dan masyarakat Kedah lebih mengerti dan memahami warna sebenar perjuangan DAP.

"Mahathir jelas, sudah menurunkan tarafnya sama seperti gurkha kepada DAP yang sanggup diperkuda dengan butiran gerak kerja dan strateginya bercelaru tanpa halatuju," kata Syed Mohd Johan Rizal di dalam blog rasminya, Bila Shahabuddin Berbicara, lewat petang semalam.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu mengulas mengenai program Bicara Rakyat anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berlangsung di Taman Wira Mergong di sini, baru-baru ini.

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, pihaknya mengenal pasti hampir 95 peratus dari mereka yang hadir di program berkenaan adalah "orang luar".

"Jika diukur dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang penonton, dengan 95% darinya 'orang luar', ditambah dengan usaha menyewa beberapa buah bas Inter-City dua tingkat milik sebuah syarikat pengangkutan, maka program berkenaan jelas gagal sama sekali," katanya.


Bertajuk "BICARA RAKYAT MAHATHIR: AURA YANG KIAN PUDAR", beliau mendakwa Dr. Mahathir bagaikan sudah kehilangan taring apabila mengajukan hujah yang berasaskan persepsi politik semata-mata.

Kata beliau lagi, Dr Mahathir juga gagal memahami budaya orang Kedah yang hanya menjadikan pentas ceramah politik sebagai salah satu bentuk hiburan dan akan meninggalkan lokasi ceramah itu sekiranya tiada dakwaan kontroversi yang menghiburkan.

"Pada tahun 80'an dan penghujung 90'an ceramah Mat Sabu ayam tambatan PAS ketika itu berjaya menggamit puluhan malah ratusan ribu pendengar, namun tiba saat pilihanraya, PAS terus kecundang.

"Mahathir tampaknya gagal pelajari aspek itu. Psikologi budaya politik di Kedah sekadar menganggap ceramah politik tidak lebih dari sekadar hiburan malam sama seperti aksi wayang kulit.

"Lantas, ramai yang ke program ceramah berkenaan secara santai setelah tidak ada aktiviti yang mahu dilakukan di hari cuti. Setelah mendengar selama 10 minit, jika tidak ada isu sensasi atau kontroversi terbaru yang menghiburkan, maka mereka lazimnya akan meninggalkan majlis," ujarnya lagi.

Turut hadir bersama Pengerusi PPBM itu di Taman Wira Mergong adalah rakan sekutunya partinya, Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung. - Kedahnews.com