ALOR SETAR - Bermula dari bawah tanpa sebarang pengalaman, kini nama Ayam Bismi meniti di bibir pelanggan khususnya di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, bukan mudah nama Ayam Bismi mencipta nama selama 28 tahun, sebaliknya pengasas perlu menempuhi cabaran besar untuk bertapak sebagai usahawan ayam.
Titik tolak bermula, apabila graduan lulusan Institut Teknologi Mara (ITM) kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jaffri Ahmad, 52, tidak mendapat pekerjaan sebaik menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Ladang.
“Memandangkan keadaan ekonomi tidak mengizinkan sekitar tahun 1988, sekali gus menyambut pelawaan seorang sahabat untuk berniaga ayam.
“Jadi, kami berdua sepakat mengusahakan perniagaan ayam, kerana pasaran ayam didakwa sememangnya mendapat sambutan ketika itu,” katanya.
Kata Jaffri yang mesra dengan gelaran Lan Bismi, bagaimanapun berniaga ayam tidak mudah seperti disangka, kerana perlu bersaing dengan peniaga lama yang memiliki pelanggan sendiri.
Ayam tidak terjual
Kali pertama berniaga, dia terpaksa menyimpan semula 100 ekor ayam dalam peti ais, apabila setiap kedai dituju sudah memiliki pembekal ayam sendiri.
“Tidak lama kemudian, barulah kami dapat tapak di Pasar Tani Alor Setar. Itu pun seminggu sekali sahaja, hingga kawan putus asa menyebabkan saya meneruskan perniagaan ini sendiri,” katanya.
Apabila mula bertatih berniaga di tapak lain, Jaffri bukan hanya terpaksa berniaga di kaki lima, malah sering di arah berpindah keluar oleh pihak berkuasa tempatan.
Katanya yang juga Pengerusi Bismi Cergas Sdn Bhd, dia tidak menoleh ke belakang untuk meluaskan perniagaan sehingga membina ladang ayam sendiri selepas 10 tahun.
Meskipun, ada kalanya dia diduga, seperti pelanggan lari dari membayar hutang sebanyak RM700,000 terhadapnya, itu tidak mematahkan semangat juangnya.
Kini, Jaffri memiliki sebuah kilang memproses ayam merangkap pusat jualan di Simpang Empat, lima cawangan Ayam Bismi di Mergong, Gurun, Kangar, Sungai Petani Utara dan Sungai Petani Selatan, serta 15 ladang ternakan ayam.
Jaffri berkata, mereka merancang membuka lagi lima cawangan Ayam Bismi pada tahun depan.
Ayam selonggok RM3
Ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Mazlina Kamarudin berkata, mereka menawarkan harga ayam mampu milik di semua cawangan.
Lebih istimewa, kata Mazlina, mereka turut menawarkan selonggok ayam pada harga RM3 sahaja.
“Ayam berkenaan seberat antara 600 hingga 700 gram (g) selonggok. Cumanya, saiznya mungkin sedikit kecil, ataupun patah tulang ketika diproses.
“Pernah ada pak cik datang ke kedai bawa RM3 sahaja, jadi kami ambil inisiatif melakukan amal jariah sebegini demi untuk membantu insan sepertinya,” katanya.
Menurutnya, ayam itu murah sedemikian atas rasa sayang dan simpati kepada golongan tidak berkemampuan demi membantu mereka.
Mazlina berkata, ayam proses turut dijual pada harga mampu milik dan berpatutan, iaitu RM7.49 sekilogram tanpa perut, kerana diambil dari kilang sendiri.
Jaga ayam 24 jam
Kata Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Gary Gan Abdullah, 52, mereka menumpukan aspek penjagaan anak ayam seawal usia sehari di 15 ladang milik Bismi.
Gary berkata, lebih 100 pekerja melibatkan bahagian teknikal, doktor sehinggalah elektrikal memberi komitmen baik menjaga anak ayam yang menetas sehingga cukup usia.
Beliau yang memiliki kepakaran selama 15 tahun operasi ladang berkta, ayam Bismi dijaga selama 24 jam demi memastikan ia cukup zat, sihat dan besar.
Katanya, anak ayam yang mendapat penjagaan sempurna, seperti suhu kepanasan reban sesuai, suplemen mencukupi dan ubatan disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membesar dengan baik.
Kata Gary, mereka telah mengeluarkan 700,000 ayam setiap bulan di sebuah ladang tertutup, dan 14 ladang terbuka mereka demi memenuhi permintaan.
Katanya, pihaknya mensasarkan pengeluaran ayam meningkat kepada 1 juta ekor sebulan, manakala sembelihan kepada 15,000 sehari dalam tempoh terdekat ini.
Belanja RM20, peluang dapat motosikal
Manakala, Mohd Saifudin Rosli, 37, selaku duta dan chef selebriti yang memiliki kepakaran dalam bidang masakan selama lebih 15 tahun, berkata, dia sememangnya yakin dengan produk Ayam Bismi.
Katanya, dia menggunakan produk berkenaan untuk perniagaan katering, terutamanya untuk makanan Arab diusahakan dia sejak lima tahun lepas.
Terbaru, katanya, syarikat melaksanakan aktiviti cabutan bertuah motosikal bermula 15 November sehingga 15 Februari 2017, yang boleh disertai apabila membeli ayam RM20.
Melalui aktiviti cabutan bertuah itu, tiga motosikal jenis Honda Wave bernilai RM13,000 menanti pelanggan bertuah.
Maklumat lanjut berkaitan produk syarikat itu, boleh didapati dengan melayari Facebook Ayam Bismi Segar Halal Suci.
Sumber: Sinar Harian