Ayda Jebat Paling Unggul, Raih 3 Trofi Anugerah Melodi


Populariti pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, tidak dapat disangkal lagi apabila namanya diumumkan memenangi trofi utama Anugerah Melodi iaitu Personaliti Sensasi Melodi, semalam.

Selain trofi utama itu, Ayda turut membawa pulang dua lagi trofi, Personaliti Muzik Melodi dan Personaliti Media Sosial.

Kemenangan tersebut berdasarkan 100 peratus hasil undian peminat.

Ayda menerusi ucapan kemenangannya berkata, “Mungkin akan ada yang bercakap ini Anugerah Ayda Jebat, tapi ini membuktikan yang peminat saya buat kerja.”

Ayda berkata demikian kerana namanya pasti akan menjadi juara sekiranya sesuatu anugerah itu melibatkan undian sepenuhnya daripada peminat.

Sementara itu, pelakon Nazim Othman yang dikenali antara selebriti bijak bergaya memenangi Personaliti Fesyen Melodi.

Sementara itu, pasangan yang kini hangat dikatakan bercinta, Fattah Amin dan Neelofa masing-masing membawa pulang satu trofi menerusi kategori Personaliti Drama Melodi dan Personaliti Pengacaraan Melodi.

Akim dan Stacy yang sedang menanti kelahiran anak sulung pula memenangi kategori Pasangan Sensasi Melodi.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pula menang trofi Personaliti Sukan Melodi.

Anugerah Melodi yang julung kali diadakan ini dihoskan AG dan bersiaran langsung dari Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Anugerah ini turut dimeriahkan dengan seleksi persembahan daripada Francessa Peter, Zamani Slam, Sahara Yaakob serta penyanyi Indonesia, Afghan dan Marcell. – Kedahnews.com

Senarai Pemenang Anugerah Melodi 2016:


* Personaliti Sensasi Melodi: Ayda Jebat

* Personaliti Filem Melodi: Zizan Razak

* Personaliti Muzik Melodi: Ayda Jebat

* Personaliti Drama Melodi: Fattah Amin

* Personaliti Pengacaraan Melodi: Neelofa

* Personaliti Komedi Melodi: Jep Sepahtu

* Pasangan Sensasi Melodi: Akim & Stacy

* Personaliti Media Sosial Melodi: Ayda Jebat

* Personaliti Fesyen Melodi: Nazim Othman

* Personaliti Sukan Melodi: Datuk Lee Chong Wei