Bapa Lima Anak Didakwa Dengan 5 Pertuduhan Di Sg Petani

Tertuduh dibawa anggota polis ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani, semalam.
SUNGAI PETANI – Seorang bapa anak lima dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan antaranya tidak mempamerkan dokumen pengenalan diri, memiliki barang kakisan dan letupan, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan didakwa terbabit kes dadah.

J Rasvindar Singh Jaggir Singh, 31, yang mengaku mempunyai empat anak tiri dan seorang anak kandung didapati gagal mengemukakan kad pengenalan semasa pemeriksaan dibuat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 November 2016 jam lebih kurang 9 pagi bertempat di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Bijaya Setia , Jalan Kuala Ketil.

Disebabkan perbuatan terbabit, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 25 (1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh didakwa iaitu bermula 7 Disember 2016.

Di mahkamah sama, tertuduh didakwa tanpa kebenaran telah ada dalam milikannya dadah berbahaya iaitu Heroin seberat 0.75 gram.

Oleh demikian, dia dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 4, Jasvindar turut dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana didapati memiliki parang dalam kejadian sama.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mendapati kebarangkalian tertuduh tidak dapat hadirkan diri ke mahkamah sepertimana diminta.

Namun, Hakim Vijayalakshmi Muthusamy menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 8 Januari 2017.

Dalam pada itu, tertuduh juga dituduh bersama empat rakan lain bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian