Belanda Izinkan Burqa Untuk Kerja, Sukan, Keramaian

AMSTERDAM – Parlimen Belanda memutuskan larangan penggunaan burqa dan niqab di sejumlah tempat awam, namun masih lagi membenarkan pemakaiannya di pelbagai kawasan yang tertentu.

Ini bermakna wanita Muslimah bebas mengenakan pakaian tersebut di ruang bekerja, tempat acara sukan, lokasi penganjuran festival keramaian atau kebudayaan setempat, menurut laporan beberapa agensi berita antarabangsa.

Kerajaan Belanda menegaskan langkah pengharaman terhad itu dilakukan demi menjaga keselamatan rakyat, malah tidak melarang pemakaian hijab atau tudung yang masih lagi menampakkan wajah penuh muka atas faktor agama.

Majoriti anggota dewan rendah Parlimen Belanda iaitu seramai 132 daripada 150 perwakilan bersetuju dengan usul larangan terhad pemakaian burqa dan niqab di sejumlah kawasan umum sebelum ia dibawa kepada dewan Senat.

Menurut rang undang-undang kontroversi itu, penggunaan busana yang menutup langsung wajah juga akan dilarang di jalanan dan rancangan tersebut sudah diterima ramai, ujar jurucakap dewan rendah, Khadija Arib.

Peraturan baharu itu bakal melarang pemakaian burqa dan niqab dalam kalangan wanita jika berada di pelbagai fasiliti awam, di mana setiap orang tidak kira latar belakang harus dapat dikenali tanpa sebarang perasaan curiga.


Ini melibatkan kawasan sekolah, hospital, bangunan pejabat kerajaan dan pengangkutan awam. Bahkan, larangan keras itu juga mencakupi pemakaian pelapik masker ski dan helm yang menutupi sebahagian muka individu.

Menteri Dalam Negeri, Ronald Plasterk menegaskan, undang-undang itu bukan merujuk penganut Islam dan mereka yang sabit kesalahan ingkar peraturan tersebut boleh dihukum denda 405 euro (kira-kira RM1,920).

Undang-undang larangan pemakaian burqa dan niqab sudah dilaksanakan di Belgium, Perancis, Bulgaria dan beberapa negeri di Switzerland selain sebahagian negara Islam di Afrika antaranya Mesir, Chad dan Cameroon.

Manakala pihak berkuasa Jerman dan Norway membayangkan sedia mengharamkan busana Muslimah itu dalam kawasan sekolah dan universiti sahaja tetapi masih lagi membenarkan ia bebas dipakai di tempat awam yang lain.

Mahkamah Hak Asasi Manusia Kesatuan Eropah tahun lalu menyokong undang-undang itu sebagai tidak salah di sebalik bantahan keras pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International sebagai berbaur rasis.

Peraturan larangan tersebut pernah diajukan kabinet Belanda di bawah Perdana Menteri, Mark Rutte pada 2015 dengan alasan penting untuk dapat berinteraksi sosial dengan saling melihat wajah sepenuhnya di tempat umum.

Bagaimanapun pemimipin terkenal Partij voor de Vrijheid, Geert Wilders mendesak larangan sepenuhnya di semua kawasan sebagai kempen untuk menang Pilihan Raya Umum Belanda pada Mac 2017. – Agensi