SEMUA nabi termasuk Isa a.s. adalah watak kesayangan umat Islam. Jika sesiapa mencela atau menafikan kemuliaan mereka, maka akidahnya akan runtuh menyembah dasar neraka.
Beriman kepada semua nabi dan Rasul adalah Rukun Iman yang wajib ditegakkan semua Muslim. Jika satu daripadanya dicabut, maka rumah Islam akan tersungkur tanpa nilai.
Firman Allah:
“Katakanlah (wahai orang yang beriman): kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada para nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata” (al-Baqarah [2:136]).
Baginda dipuji dengan gelaran Ulul Azmi atau Utusan Allah yang sangat teguh keazamannya dalam dakwah (al-Ahzab [33:7], al-Syura [42:13] dan al-Ahqaf [46:35]).
Pada tempat lain, al-Quran membela Nabi Isa a.s. dengan cara yang lebih unik ketika baginda dicaci orang Yahudi sebagai anak luar nikah:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur,” (al-Nisa’ [4:163]).
Kronologi zaman para nabi dalam ayat ini kelihatan agak janggal kerana Allah meletakkan kedudukan nama Nabi Isa selepas anak-anak nabi Yaaqub, sedangkan baginda diutuskan jauh selepas zaman mereka.
Allah sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana pasti mempunyai sebab kukuh dalam penyusunan ini.
Subhanallah! Rupanya Allah mahu membela dan mengangkat nama baginda seiring dengan para nabi Bani Israil (bermaksud anak-anak Nabi Yaaqub a.s.) yang lain.
Pembelaan ini dibuat kerana Bani Israil sezaman baginda menuduh baginda sebagai anak luar nikah (rujuk ayat 156 surah al-Nisa’) (Tafsir al-Alusi dan Tafsir Fath al-Qadir oleh Imam al-Syawkani). Seolah-olah Allah mahu menempelak mereka secara sinis:
“Jangan sesekali kamu mencela Nabi Isa a.s sebagai anak luar nikah atau menafikan kenabiannya kerana Aku sendiri memuliakannya serta meletakkan namanya sejurus nama anak keturunan Nabi Yaaqub yang lain!”
Menjelang 25 Disember setiap tahun penganut agama Kristian bergembira dengan kelahiran Nabi Isa a.s. yang dipercayai sebagai anak Tuhan.
Persoalannya, adakah benar 25 Disember tarikh lahir baginda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui kesahihannya. Walaupun begitu, al-Quran memang menyebut jelas kisah kelahiran baginda:
“Kemudian baliklah dia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka (Bani Israil) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun (gelaran sempena mengingat kesolehan Maryam yang diibaratkan seperti kesolehan Nabi Harun), bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera mengisyaratkan kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak di dalam buaian? Dia (Nabi Isa a.s.) menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku Nabi.“Dan Dia menjadikan aku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan aku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”. Yang demikian sifatnya itulah Isa anak lelaki Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila Dia mahu menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka Dia hanya berfirman kepada perkara itu: “Jadilah engkau”, lalu ia terus jadi (atau wujud). Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus.” (Maryam [19:27-36]).
Sumber: Utusan