Bungkusan Tepung Penuh Serangga, Peniaga Ayam Goreng Di Kulim Rugi

Johny menunjukkan tepung gandum dibelinya di sebuah kedai runcit.
KULIM - Seorang peniaga ayam goreng rugi apabila kesemua enam paket tepung gandum dibelinya dari sebuah kedai runcit, dekat Taman Makmur, dipenuhi serangga.

Johny Roni, 32, berkata, tepung gandum itu bukan saja dijual dengan harga mahal sehingga RM1.80 sepaket, malah kualiti juga tidak dijaga.

“Kejadian berlaku pada Khamis lalu apabila pekerja saya pergi ke kedai untuk beli enam paket tepung gandum.

“Empat bungkusan telah dibancuh, ayam telah dicelup dan digoreng, tetapi mereka baru perasan ada serangga pada paket kelima dan terus memaklumkan kepada saya,” katanya.

Menurut Johny, setelah memastikan terdapat serangga dalam bungkusan tepung gandum itu, dia mengambil keputusan menemui pemilik kedai tersebut untuk meminta penjelasan dan ganti rugi, namun kecewa dengan tindakan mereka.

“Banyak ayam dah goreng dan jumlah kerugian lebih RM400. Saya memang tak akan jual ayam itu kepada pelanggan, jadi saya bawa ayam goreng ke kedai itu sebagai bukti.

“Saya cuba berbincang dan minta ganti rugi, namun pemilik kedai tersebut enggan beri kerjasama, sebaliknya mencabar saya untuk membuat laporan kepada pihak terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Johny, dia tetap bersabar dan memberi tempoh dua hari kepada pemilik kedai tersebut untuk membayar ganti rugi, sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya bagi masa kepada mereka untuk bayar ganti rugi kerana tak mahu panjangkan masalah, tapi pemilik kedai runcit tersebut masih tak mahu. Saya buat keputusan mengadu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pejabat Kesihatan dan polis untuk tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan KPDNKK Kulim, Mispari Japar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan untuk mengambil tindakan lanjut.

“Kita telah menerima aduan dan akan jalankan siasatan serta ambil tindakan terhadap kedai berkenaan bersama Jabatan Kesihatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian