Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya Jadi Tumpuan


BUTTERWORTH – Wad kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini malam ini, menjadi tumpuan selepas berlakunya insiden pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, petang ini, yang mengorbankan seorang juruterbang.

Tinjauan Bernama di hospital itu mendapati 10 anggota TUDM memenuhi perkarangan hospital berkenaan bagi menguruskan mangsa-mangsa yang terlibat.

Mayat juruterbang itu tiba di perkarangan hospital tersebut pada 7.30 malam, manakala tiga lagi mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di situ.

Difahamkan, seorang anggota dipercayai pembantu juruterbang yang cedera parah akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Sehingga kini, anggota keluarga mangsa yang terlibat masih belum kelihatan di hospital kerana difahamkan kesemua mangsa bukan penduduk tempatan dan mereka berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

Pihak hospital ketika ini sedang menjalankan bedah siasat terhadap mayat juruterbang itu.

Sementara itu, di Hospital Pulau Pinang kelihatan dua kenderaan pacuan empat roda TUDM bersiap sedia menanti seorang anggota yang cedera parah, yang akan dipindahkan ke hospital itu dari Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan lanjut.

Tinjauan Bernama mendapati tiga pegawai sedang menunggu mangsa terbabit sejak 8 malam.

Dalam kejadian pada 5.18 petang itu, sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbangnya maut, manakala tiga yang lain cedera. – BERNAMA