Cabul Anak Tiri Usia 13 Tahun: Bapa Tiri Dipenjara 6 Bulan, 3 Sebatan


KUALA LUMPUR – Seorang bapa tiri dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan anak tirinya berusia 13 tahun.

Lelaki yang berumur 33 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak tiri perempuannya itu dengan meraba kemaluannya dengan niat hendak mencabul kehormatan, di rumahnya di Sungai Besi, di sini, pada 6 pagi, 10 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Umzarul An Nur Umar turut memerintahkan tertuduh yang merupakan polis bantuan berpangkat Inspektor menjalani kaunseling dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama enam bulan selepas dibebaskan dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap pada 30 Nov lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yusha memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dan sebatan terhadap tertuduh dan dia wajar diasingkan daripada masyarakat.

“Mengambil kira faktor mangsa adalah anak tiri tertuduh yang sepatutnya dilindungi, sebaliknya tertuduh telah mencabul mangsa sehingga menyebabkan gangguan emosi dan merosakkan kehidupan mangsa,” katanya.

Bapa enam anak itu yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda dengan alasan dia adalah penanggung utama dalam keluarganya.

“Saya menanggung enam orang anak termasuk dua anak tiri, ibu bapa mentua juga di bawah jagaan saya. Saya menyesal akan perbuatan saya dan merayu denda yang rendah,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Isteri tertuduh turut menangis ketika mendengar rayuan suaminya.

Mengikut fakta kes, pada 28 Nov lepas, pengadu yang merupakan seorang pegawai perubatan yang merawat mangsa membuat laporan polis selepas diberitahu mangsa didera secara seksual oleh bapa tirinya.

Menurut mangsa, dia telah dicabul oleh bapa tirinya sejak tahun lepas hingga 10 Nov (kejadian terakhir). – BERNAMA