Cecair Nitrogen Perlu Meruap Betul Sebelum Dijual – KKM


PENGELUAR atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan perlu memastikan ia meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna bagi mengelakkan melecur (cryogenic burn) atau radang dingin (frostbite).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya menjelaskan cecair nitrogen adalah gas nitrogen tidak berbahaya yang telah disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196°C) sehingga ia menjadi cecair.

Menurutnya, cecair nitrogen digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta merta ais dan dalam pembuatan ais krim.

“Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta (flash freezing) makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus (fog like texture) di mana ia menghasilkan novelty kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan,” katanya.

Tegasnya, cecair nitrogen harus digunakan pada tahap yang bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk.

Noor Hisham berkata, pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal di dalam produk makanan siap.

“Oleh itu isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul.

“KKM berharap penyedia makanan dan pengguna mengambil perhatian ke atas perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kes seorang remaja di Alor Setar, Kedah yang melecur selepas memakan ‘biskut berasap’ yang mengandungi cecair nitrogen pada Jumaat lalu.

Noor Hisham turut menjelaskan KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna dan laporan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan.

Juga melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM sekirannya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan. – Kedahnews.com