Comedy Planet Afdlin Shauki Jadi Pusat Sehenti Aktiviti Komedi


PELAKON dan pelawak terkenal, Afdlin Shauki menyifatkan pembukaan restorannya di Great Eastern Mall, Ampang sebagai satu pusat sehenti aktiviti seni khususnya untuk pelawak baharu menonjolkan bakat mereka.

Menurutnya, selain menjamu hidangan, pelanggannya juga dapat berhibur dengan persembahan seni daripada penghibur tempatan terutama buat mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam industri hiburan.

“Comedy Planet merupakan sebuah restoran yang selain dari mempersembahkan makanan yang hebat dan pelik, juga menghidangkan persembahan komedi dari pelawak-pelawak terhebat di Malaysia dan juga pelawak bertaraf antarabangsa.

“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan seperti ‘stand up comedy’, persembahan puisi, improvisasi, komedi spontan dan tazkirah yang akan dibarisi selebriti ternama di Malaysia selain pendatang baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Comedy Planet, kelmarin.

Sementara itu, ketika bercakap mengenai hidangan menu di situ, Afdlin; 44, berkata, restorannya yang berslogan, ‘komedi menjilat jari’ menawarkan makanan Fusion Melayu dan Barat dengan pilihan nama menu yang cukup unik selari dengan konsep komedi yang cuba diketengahkannya.

“Antara menu yang terdapat di restoran saya antaranya, Sup Tulang Merah Tanda Berhenti yang merupakan hidangan mesti cuba di sini, Gado-Gado Balik Rumah, Silence of the Lamb Shoulder, Air Kera Di Hutan Disusukan, Air Pak Leman Kesejukan di Kebun Teh dan Dessert Serabai Mabai Terabai K-Bye,” ujarnya lagi.

Comedy Planet yang diusahakan Afdlin bersama seorang rakan kongsi itu mampu memuatkan 400 tetamu dalam satu masa.

Antara selebriti yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran tersebut ialah Johan, Adibah Nor, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Ako Mustapha, Rahim Sepahtu, Joey dan sutradara terkenal, Othman Hafsham. – Kedahnews.com