SEPASANG pelancong warga Australia diarak keliling kampung gara-gara didapati bersalah mencuri sebuah basikal milik sebuah hotel di pulau Gili Trawangan, Indonesia.
Kedua-dua pelancong yang tidak didedahkan identiti itu dipkasa berjalan sekitar perkampungan itu dengan mengenakan papan tanda yang diperbuat daripada kertas tertera perkataan ‘Saya pencuri. Jangan lakukan apa yang saya lakukan.’
Menurut portal Straits Times memetik laporan Agence France-Presse (AFP) memberitahu kedua-dua pelancong itu dikatakan melakukan kesalah itu pada 10 hari lalu ketika berkunjung ke pulau tersebut.
Malah ketua kampung Gili Trawangan, Muhammad Taufik berkata, kedua-dua pelancong itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika mengambil basikal tersebut.
Pengurus hotel tersebut melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan suspek berjaya ditangkap keesokan harinya, tambah Encik Taufik.
“Kami menyoal siasat mereka, mencapai perjanjian, bawa mereka berjalan di sekitar pulau dan paksa mereka tinggalkan Gili,” katanya kepada AFP.
Pasangan pelancong ini adalah yang pertama menerima hukuman sebegini pada tahun ini selain daripada beberapa warga Indonesia yang turut melakukan kesalahan yang sama.
Difahamkan hukuman sedemikian bagi kesalahan mencuri telah diamalkan di kepulauan itu sejak bertahun-tahun lamanya atas persetujuan di antara penduduk pulau itu dan pihak berkuasa di tanah besar.
“Amalan berarak bagi mereka yang melakukan kesalahan jenayah di pulau ini atas persetujuan kedua-dua pihak iaitu penduduk tempatan dan pihak berkuasa (polis) di tanah besar,” kata Ketua Pejabat Pelancongan Nusa Tenggara Barat, Lalu Muhammad Fauzal kepada portal BBC negara itu. -Kedahnews.com