"Cybertroopers" Musuh PAS Miliki Banyak Akaun FB - Nasrudin Hassan


KUALA LUMPUR – PAS memandang berat kewujudan `cybertrooper’ yang ditugaskan oleh musuh-musuh parti itu untuk melempar pelbagai fitnah dan dakyah politik di media sosial.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, siasatan PAS mendapati seorang `cybertrooper’ akan menggunakan berpuluh akaun Facebook berbeza untuk menunjukkan kononnya mereka ramai bagi mempengaruhi tanggapan pengguna media sosial.

“Serangan di media sosial sangat diambil peduli oleh PAS. Segala serangan, fitnah dan caci maki dipelopori oleh `cybertrooper’ yang menggunakan akaun palsu.

“Kita berjaya mengesan bahawa puluhan akaun palsu hanya dimiliki oleh seorang `cybertrooper’. Mereka cuba menguasai medan siber. Mereka gunakan alam siber menyerang bertubi-tubi tanpa henti.

“Menyebarkan fitnah tanpa takut kepada Tuhan dan mencaci nista tanpa peduli kepada dosa dan neraka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin tidak menyatakan musuh PAS yang dimaksudkan, namun umum mengetahui PAS dikecam hebat oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP dan disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN).

PAS sangat dibenci oleh Pakatan Harapan yang diketuai DAP berikutan keakraban pemimpin parti Islam itu dengan pemimpin Melayu UMNO sejak kebelakangan ini.

Pakatan Harapan melihat kerjasama UMNO dan PAS atas nama Islam dan kepentingan umat Melayu negara ini boleh menjejaskan agenda politik mereka untuk mentadbir Malaysia secara mutlak dibawah pemerintahan sebuah negara sekular seperti yang diilhamkan DAP.

DAP sudah lama dikaitkan dengan kumpulan tentera siber yang selalu menyebarkan bahan-bahan yang berbentuk penipuan dan fitnah terhadap pihak-pihak yang tidak sehaluan atau tunduk kepada parti itu.

Tiba masanya pihak berkuasa SKMM dan polis bertindak aktif menahan tentera-tentera siber ini yang mempunyai kemampuan untuk menganggu gugat kestabilan negara.-Kedahnews.com