Di Balik Baja Ada Mercun, "Kantoi" Depan Tol Pendang


ALOR SETAR - Tindakan seorang pemandu dan kelindan lori warga Malaysia menyembunyikan mercun dan bunga api di sebalik timbunan baja membawa padah apabila ditahan dalam pemeriksaan di hadapan Tol Pendang, 9 Disember lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, mereka disyaki cuba menyeludup masuk barang larangan kastam dari negara jiran dengan membuat pengikraran tidak betul.

"Dalam pemeriksaan kira-kira jam 5 petang itu, pemandu lori terbabit menunjukkan borang kastam 1, diikrarkan sebagai baja sebanyak 1,500 bungkusan.

"Bagaimanapun, tindakan mengikrar barangan lain adalah bagi mengaburi mata penguat kuasa semata-mata, apabila hanya 68 bungkusan baja sahaja ditemui," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kedah, semalam.

Kata Latif, pihak mereka mendapati sejumlah baja berkenaan diletakkan di bahagian hadapan kontena, manakala selebihnya mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Menurutnya, kesemua mercun terbabit seberat 7,166 kilogram (kg) terbabit dianggarkan bernilai RM182,700 dan jumlah cukai sebanyak RM107,793.

Susulan itu, pemandu berusia 35 tahun dan kelindan berumur 22 tahun ditahan membantu siasatan, sementara lori kontena terbabit dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya percaya bahan api berkenaan untuk pasaran tempatan bersempena musim perayaan Krismas pada 25 Disember dan Tahun Baru Cina awal tahun depan.

Dalam kes berasingan, sebanyak 2,130 kotak mengandungi ketulan ayam beku seberat 25,560 kg  juga cuba diseludup masuk dari negara jiran pada 30 November lalu.

"Dalam serbuan lebih kurang jam 11 malam berhampiran Tol Hutan Kampung, Lebuhraya Utara Selatan kita menahan serbuan lori kontena menggunakan modus operasi sama," katanya.

Katanya, lori kontena terbabit diikrarkan membawa 1,000 kotak ikan sejuk beku, bagaimanapun hanya 138 kotak seberat 2,760 kg bahan itu ditemui dalam kontena itu.

Menurut Latif, pihak mereka mendapati selebihnya adalah ketulan ayam beku dengan nilai kastam sebanyak RM110, 520 selepas lebih kurang tiga lapisan kotak ikan sejuk buku.

Beliau berkata, seorang pemandu warga Malaysia berusia 29 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, dan lori kontena dibawa balik untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kedua kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan/belum lulus kastam.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Sumber: Sinar Harian