"Dia Yang Keliru, Bukan PAS..", Idris Ahmad Bidas Dr Mahathir


SHAH ALAM - Pas menafikan dakwaan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan, Pas berada dalam keadaan yang keliru apabila menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Sebaliknya menurut Naib Presidennya, Idris Ahmad, bekas Perdana Menteri itu sebenarnya yang keliru, kerana beliau sendiri keliru dengan identitinya kini yang bukan lagi seorang pemimpin kerajaan.

"Beliau (Mahathir) yang keliru, bukan Pas...kita minta dia belajar jadi pembangkang dahululah beliau baru mula nak masuk padang jadi pembangkang, mungkin dia perasan beliau masih lagi jadi PM itu.

"Jadi beliau bercakap seoalah-olah nak caturkan orang, kena ingat beliau label pembangkang sekarang," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir semalam yang mengatakan; Pas menolak kerjasama dengan DAP dan PAN, namun dalam masa yang sama di Selangor dua parti tersebut juga merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Pas mungkin keliru tapi mereka perlu buat keputusan sama ada ingin bersendirian, bersama Umno atau dengan Pakatan Harapan,” katanya di Konvensyen Nasional Amanah 2016, di Shah Alam, kelmarin.

Sumber: Sinar Harian