EKSKLUSIF: PAS Kedah Ikrar Letak Calon Di Semua Kerusi Tradisi


ALOR SETAR - PAS Kedah berikrar akan mempertahan dan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang ditandingi parti itu di negeri Kedah sebelum ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi bagaimanapun menegaskan bahawa pertandingan tiga penjuru atau lebih kelak akan ditentukan oleh situasi semasa dan strategi politik PAS.

"Dalam konteks Kedah, PAS tegas mempertahankan jumlah kerusi yang dipertandingkan pada PRU13.

"Jumlah penjuru yg dipertandingkan pada PRU 14 adalah bergantung kepada situasi semasa dan strategi politik," tegas beliau dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fakhruddin menjelaskan  bahawa PAS Kedah tetap konsisten dalam menghadapi Barisan Nasional (BN), namun tidak teragak-agak akan berdepan dengan mana-mana parti yang cuba mencabar PAS pada PRU ke-14 kelak.

"Jentera Pilihanraya PAS Kedah bersedia dalam apa  saja keadaan bagi menghadapi BN dan parti yang mencabar PAS dalam PRU 14," ujar beliau yang difahamkan sedang berada di luar negara.

Dr Ahmad Fakhruddin diminta mengulas mengenai kerusi yang bakal ditandingi PAS Kedah pada PRU ke-14 setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menandatangani kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam satu majlis baru-baru ini.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan selepas majlis berkenaan menegaskan kerjasama itu tidak membawa sebarang erti jika partinya tidak diberi kerusi bertanding pada PRU ke-14 nanti.

Kenyataan Muhyiddin tersebut seolah-olah menandakan PPBM bekerjasama dengan Pakatan Harapan semata-mata untuk meminta kerusi untuk ditandingi parti itu selain Parti Amanah Negara (PAN) yang sebelum ini turut memerlukan kerusi untuk bertanding.

Beberapa penganalisis politik terkemuka sebelum ini berpandangan bahawa bakal berlaku konflik perebutan kerusi di antara parti-parti pembangkang ekoran lahir dua parti serpihan baru dari PAS dan UMNO tersebut.

PAS yang berkali-kali menegaskan pendirian mereka "menceraikan" DAP dan PAN dengan "talak 3" dan enggan bekerjasama dengan dua parti pembangkang itu menyulitkan lagi keadaan pembahagian kerusi tersebut. - Kedahnews.com