FAM Batalkan Perlawanan Persahabatan Dengan Myanmar


PUTRAJAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan drastik membatalkan dua aksi persahabatan melibatkan skuad Bawah 22 (B-22) dengan pasukan B-22 Myanmar.

Kedua-dua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di sebuah stadium Yangon, kira-kira 380 kilometer dari ibu kota Myanmar, Naypyitaw pada Disember ini, menurut laporan portal berita tempatan AgendaDaily.

Pihak FAM, menerusi entri terbaharu dalam laman sosial Twitter skuad kebangsaan, Harimau Malaysia, namun tidak menyatakan sebab perlawanan yang bakal diadakan pada 9 dan 12 Disember ini terpaksa dibatalkan.

Keputusan itu, bagaimanapun dipercayai sebagai tanda boikot penindasan berterusan pasukan tentera kerajaan Myanmar terhadap penduduk etnik Islam minoriti Rohingya di utara negara rantau Asia tenggara berkenaan.

Isu pemulauan terhadap Myanmar bukan perkara baharu memandangkan beberapa individu termasuk mufti dan badan bukan kerajaan di negara ini, mendesak FAM memboikot kejuaraan Piala AFF Suzuki di negara itu.

Kejohanan serantau berprestij  itu berlangsung dari 20 hingga 26 November lalu dan skuad Harimau Malaysia gagal mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga ketiga daripada empat pasukan dalam saingan kumpulan B.

Kementerian Belia dan Sukan bagaimanapun menyatakan pasukan Malaysia tidak menarik diri daripada temasya itu bagi mengelak FAM daripada dikenakan tindakan keras oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini kerana badan induk sukan dunia itu melarang sebarang bentuk ‘campur tangan’ berbaur politik oleh pihak kerajaan secara langsung dalam mana-mana kejohanan antarabangsa termasuk di kawasan yang memang bergolak.

Justeru, jemaah Kabinet memutuskan Kementerian Luar Negeri menguruskan isu kekejaman terhadap masyarakat Rohingya menerusi saluran diplomatik selain menyatakan bantahan keras Malaysia kepada pihak Myanmar.

Difahamkan sebagai ganti, FAM bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan B22 Filipina di ibu kota Manila tetapi belum lagi memuktamadkan tarikh tersebut. – Agensi