WALAUPUN telah lenyap lebih 1,400 tahun lalu, namun amalan jahiliah iaitu merujuk kepada segolongan masyarakat di Semenanjung Tanah Arab sebelum kebangkitan Rasulullah SAW dilihat masih berleluasa sehingga kini.
Buktinya, di tengah-tengah kehidupan dunia yang pesat membangun, masih terdapat ramai manusia termasuk umat Islam sendiri berkelakuan jahiliah sama ada dalam sudut sikap, emosi, minda dan tindakan.
Dahulu, kaum jahiliah terkenal dengan budaya hidup kotor dan tiada pedoman. Hanya berpandukan akal dan nafsu, justeru lahirlah masyarakat yang bergelumang dengan segala bentuk kemungkaran dan penindasan.
Anak-anak perempuan dibunuh, pelacuran serta penzinaan menjadi budaya, dan pergaduhan serta peperangan menjadi cara untuk mencapai matlamat hidup. Bagi yang berkuasa menindas manakala lemah ditindas, tiada keadilan ditegakkan, tiada sistem hidup dapat membentuk kedamaian, sebaliknya sihir dan khurafat menjadi amalan.
Namun kini, dunia sekali lagi diperlihat dengan pelbagai perlakuan jahiliah moden yang mewarnai masyarakat. Antaranya, negara pernah dikejutkan dengan berita seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar seterika kerana kecewa dalam hidup.
Seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu buta hingga membawa kepada perceraian. Pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah terlibat jenayah seperti perlakuan seks bebas, peras ugut pelajar, ponteng sekolah dan minum arak.
Banyak lagi tragedi menyayat hati dilaporkan dalam akhbar dan media dari hari ke hari. Semua perlakuan jahiliah moden ini ternyata lebih parah dan hina daripada perlakuan masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah kerana pelbagai seruan dakwah telah sampai kepada mereka.
Sebagai orang yang beriman, pastinya tidak akan tenang dengan segala bayangan ngeri ini. Umat Islam perlu akur bahawa perlakuan jahiliah moden dalam pelbagai bentuk ini hakikatnya adalah hasil keengganan kita menerima Islam sebagai panduan kehidupan.
Sebahagian masyarakat hari ini semakin jauh daripada kefahaman agama, apatah lagi untuk mengamalkannya. Ilmu syariat tidak dipelajari, iman tidak dipupuk ke dalam diri, hidup hanya memburu kepuasan nafsu dan keperluan duniawi.
Malah, sepanjang hari hanya sibuk mengurus dunia, sedangkan kematian dan kehidupan akhirat diabaikan tanpa sebarang persiapan yang menjamin kebahagiaan. Inilah realitinya identiti masyarakat pada hari ini.
Sehubungan itu, umat Islam perlu kembali menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan hidup. Iman dan Islam hendaklah dihayati dan diamalkan.
Antara langkah yang perlu diambil bagi membendung budaya perlakuan jahiliah adalah;
1. Ibu bapa dan guru hendaklah berperanan mencorakkan hala tuju anak-anak. Anak-anak perlu dididik dengan ilmu agama sebagai asas membentuk jati diri. Pastikan mereka tahu menunaikan solat dan menjaga batasan syariat di samping memburu kecemerlangan akademik dan pelajaran.
Ini kerana ibu bapa bertanggungjawab terhadap kegagalan mendidik anak. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (suci dan bersih) maka kedua-dua ibu bapa yang menjadikannya berperangai dengan perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi.” -Riwayat Abu Ya’la
2. Kembali menjadi masyarakat yang peka dengan persekitaran dan saling ingat-mengingati. Umat Islam sewajarnya sedar hakikat ini kerana kehilangan ciri-ciri tersebut menyebabkan kita bagaikan hidup bersendirian walaupun hidup di tengah-tengah manusia yang ramai.
Tiada perpaduan dan hubungan Islamiah menyebabkan umat Islam hilang kekuatan. Sehinggakan apabila melihat anak kecil disepak, dipijak dan didera di khalayak pun kita tidak mampu berbuat apa-apa sehingga nyawa si kecil tidak berdosa itu terpisah dari badan.
3. Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT dan berazam untuk mengamalkan syariat Islam. Ingatlah bahawa dengan taubat dan istighfar akan mengundang rahmat daripada Allah dan mengembalikan kekuatan kita sebagai umat Islam yang hidup berpandukan al-Quran dan sunah.
Sumber: Utusan